TEHRAN: Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC) mengeluarkan amaran keras bahawa serangan balas terhadap pencabulan infrastruktur tenaga Iran masih belum berakhir dan bakal menjadi lebih hebat sekiranya provokasi itu berulang.
Jurucakap Markas Pusat Khatam al-Anbiya IRGC menyifatkan serangan ke atas fasiliti gas dan minyak Iran sebagai satu kesilapan besar yang berpotensi membawa padah kepada pihak musuh serta sekutu mereka.
Advertisement
Amaran itu dikeluarkan susulan laporan serangan udara Israel yang menyasarkan loji gas di Bushehr — termasuk kompleks Asaluyeh yang memproses sebahagian besar gas negara — serta beberapa stor bahan api di Tehran di bawah operasi “Epic Fury”.
“Kami memberi amaran kepada musuh bahawa anda telah melakukan kesilapan besar dengan menyerang infrastruktur tenaga Iran,” kata jurucakap itu dalam kenyataan yang dipetik agensi berita ISNA, hari ini.
Beliau berkata sekiranya serangan tersebut berulang, siri serangan balas terhadap infrastruktur tenaga pihak lawan dan sekutu mereka tidak akan terhenti sehingga berlaku kemusnahan sepenuhnya.
Amaran terbaharu ini dikeluarkan ketika harga minyak mentah dunia melonjak melebihi AS$100 (kira-kira RM390) setong susulan kebimbangan terhadap gangguan bekalan dari Asia Barat.
Sebelum ini, Iran melancarkan beberapa serangan dron ke atas infrastruktur minyak di negara Teluk, termasuk Kuwait, sebagai tindak balas terhadap dakwaan penglibatan negara-negara berkenaan dalam menyokong operasi ketenteraan Amerika Syarikat (AS) dan Israel.
Pemerhati ketenteraan berpendapat retorik IRGC menandakan kesediaan Tehran melancarkan satu bentuk “perang tenaga” menyeluruh sebagai tindak balas terhadap pembunuhan pegawai kanan keselamatan mereka sejak 28 Feb lalu.
Situasi di Selat Hormuz kini berada pada tahap paling berbahaya, dengan armada laut AS memperketat keselamatan laluan kapal tangki minyak antarabangsa.