SINGAPURA:Penguasa Kewangan Singapura (MAS) hari ini mengumumkan ia merancang untuk menamatkan terbitan wang kertas S$1,000 mulai 1 Jan, 2021.

Bank pusat itu berkata mulai sekarang dan sehingga Disember 2020, wang kertas S$1,000 hanya akan disediakan dalam kuantiti yang terhad untuk setiap bulan.

"Ini merupakan tindakan pencegahan untuk membendung pengubahan wang dan risiko pembiayaan keganasan yang tinggi yang dikaitkan dengan wang kertas denominasi besar," menurutnya dalam kenyataan hari ini.

MAS berkata tindakan itu adalah sejajar dengan norma antarabangsa dan bidang kuasa utama telah menamatkan penerbitan wang kertas denominasi besar.

Wang kertas S$1,000 dalam edaran sedia ada akan kekal sebagai wang sah dan akan terus digunakan sebagai instrumen pembayaran nilai barangan yang menjadi dagangan, menurut bank pusat.

"Bank-bank boleh terus mengedarkan semula wang kertas S$1,000 sedia ada yang didepositkan dengan mereka," kata MAS.

Penguasa itu berkata ia akan menyediakan wang kertas denominasi lain pada kuantiti yang mencukupi, khususnya wang kertas S$100 -- denominasi tertinggi seterusnya selepas wang kertas $1,000 -- untuk memenuhi permintaan.

-- BERNAMA