Duke-NUS Medical School di Singapura berjaya menghasilkan alat ujian saringan COVID-19 yang dikatakan berupaya mengenal pasti jangkitan virus itu dalam tempoh hanya satu jam.

Menurut The Straits Times/ANN, alat ujian saringan itu boleh melihat keupayaan vaksin berfungsi dalam memeriksa beberapa bahagian populasi yang dijangkiti dan mengesan kontak rapat.

"Keupayaan alat itu sangat penting kepada Singapura yang sedang berusaha untuk memutuskan rantaian jangkitan.

"Alat ujian tersebut boleh didapati di hospital-hospital Singapura dan ia boleh digunakan dalam penyelidikan biasa di hospital," katanya.

Menurut sekolah perubatan itu, pihaknya akan membangunkan alat ujian saringan yang dikenali sebagai cPass itu dengan syarikat bio teknologi.

cPass itu dibangunkan oleh pasukan yang diketuai Pengarah Duke-NUS, Prof Wang Linfa yang menjalankan program penyakit berjangkit dan pembangunan ujian di Singapura.

"cPass boleh digunakan tanpa kemudahan keselamatan bio, iaitu dapat diakses oleh seluruh masyarakat termasuk di negara membangun," kata Prof Wang Linfa.