SINGAPURA: Singapura mencatatkan 1,201 pesakit Tuberkulosis atau tibi aktif baharu tahun lepas, turun daripada 1,251 kes pada tahun 2022, menurut data terkini Kementerian Kesihatan, lapor Xinhua.

Kumpulan umur yang lebih tua dan lelaki terus membentuk sebahagian besar kes tibi aktif baharu di Singapura.

Kira-kira 78 peratus daripada 1,201 pesakit berumur 50 tahun ke atas dan 66 peratus adalah lelaki.

Hari Tibi Sedunia jatuh pada Ahad tahun ini dengan tema "Yes! We Can End TB!" ("Ya! Kita Boleh Menghentikan TB!")

Perdana Menteri Kemboja Hun Manet pada Ahad berkata negara itu merekodkan penurunan ketara kematian dan kes baharu tibi dalam tempoh lebih dua dekad.

Dalam mesej sempena Hari Tibi Sedunia, Hun Manet berkata kadar kematian akibat tibi telah menurun sebanyak 45 peratus daripada 42 kes bagi setiap 100,000 orang pada tahun 2000 kepada 23 pada tahun 2022.

Menurut beliau, kes tibi baharu juga telah menurun sebanyak 45 peratus daripada 579 setiap 100,000 orang pada tahun 2000 kepada 320 pada tahun 2022.

Beliau berkata rawatan tibi adalah percuma dengan kadar penyembuhan yang tinggi lebih daripada 90 peratus.

Sementara itu, seorang pegawai kanan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Matshidiso Moeti berkata negara-negara Afrika harus berganding bahu dan melabur dalam intervensi berkualiti tinggi untuk mencapai matlamat menghapuskan tibi menjelang 2030

Beliau berkata tibi terus menjadi punca kematian kedua daripada satu ejen berjangkit, mengatasi jumlah kes HIV dan AIDS.

Pada tahun 2022, kira-kira 2.5 juta orang di benua itu dijangkiti penyakit berkenaan bersamaan dengan seorang individu bagi setiap 13 saat.

Menurut WHO, kira-kira 10.6 juta orang dijangkiti tibi secara global pada tahun 2022, dengan 1.3 juta daripadanya meninggal dunia.

--BERNAMA-XINHUA