DUNIA
Singapura kuat kuasa undang-undang antipenipuan baharu pada 1 Julai

Pegawai polis Singapura boleh mengeluarkan RO kepada bank sekiranya terdapat kepercayaan munasabah bahawa ia perlu untuk melindungi individu yang menjadi sasaran. - Gambar hiasan/Pixabay
SINGAPURA: Undang-undang baharu Singapura bagi membolehkan pihak polis melindungi individu yang menjadi sasaran penipuan akan mula dikuatkuasakan pada Selasa (1 Julai), menurut Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA).
Akta Perlindungan Daripada Penipuan 2025 yang diluluskan Parlimen pada 7 Jan lepas membolehkan pegawai polis dan pegawai hal ehawal komersial yang dilantik di bawah Seksyen 64 Akta Pasukan Polis mengeluarkan Perintah Sekatan (RO) kepada bank, bagi mengehadkan kemudahan perbankan dan kredit individu dalam keadaan tertentu.
"Keputusan untuk mengeluarkan RO akan dibuat oleh pegawai polis berdasarkan penilaian terhadap fakta dan keadaan setiap kes.
Polis boleh mempertimbangkan maklumat berkaitan yang diberikan oleh individu atau ahli keluarga mereka sebelum membuat keputusan," kata MHA dalam kenyataan pada Isnin, sambil menambah bahawa perintah itu akan dikeluarkan hanya sebagai langkah terakhir setelah semua usaha untuk meyakinkan individu berkenaan telah diambil.Pegawai polis boleh mengeluarkan RO kepada bank sekiranya terdapat kepercayaan munasabah bahawa ia perlu untuk melindungi individu berkenaan, dan mereka mungkin akan memindahkan wang kepada penipu, mengeluarkan wang untuk diberikan kepada penipu, atau memohon atau menggunakan kemudahan kredit untuk manfaat penipu.
RO akan dikeluarkan secara automatik kepada tujuh bank runcit utama yang menguruskan kebanyakan deposit pengguna di Singapura: DBS Bank, Oversea-Chinese Banking Corporation, United Overseas Bank, Citibank, Hongkong and Shanghai Banking Corporation, Malayan Banking Berhad dan Standard Chartered Bank.
Ia juga boleh dikeluarkan kepada bank-bank lain.
Individu yang tertakluk kepada RO boleh menjangkakan kemudahan perbankan mereka termasuk pemindahan wang, penggunaan ATM dan kemudahan kredit seperti transaksi kad kredit serta akses kepada pinjaman peribadi akan dihadkan.
Bagaimanapun, mereka masih dibenarkan mengakses wang mereka bagi keperluan sah seperti perbelanjaan harian dan pembayaran bil.
Permohonan untuk mengakses dana akan dinilai secara kes demi kes selepas permohonan dikemukakan kepada polis.
Setiap RO akan sah untuk tempoh sehingga 30 hari pada satu masa dan boleh dilanjutkan sehingga lima kali, dengan setiap lanjutan maksimum 30 hari.
Perintah itu juga boleh dibatalkan lebih awal sekiranya individu berkenaan dinilai tidak lagi berisiko menjadi mangsa penipuan.
Individu atau mana-mana pemegang akaun bersama individu berkenaan boleh membuat rayuan terhadap keputusan RO kepada Pesuruhjaya Polis, namun perintah itu akan kekal berkuat kuasa sementara menunggu keputusan rayuan.
"Keputusan Pesuruhjaya Polis adalah muktamad," kata MHA.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami