Skip to main content

Dunia

Singapura luluskan undang-undang antivap, hukuman lebih berat mulai 1 Mei

41754969464_tbSingapura.jpg
Undang-undang baharu itu akan memperkukuh penguatkuasaan terhadap penggunaan vap dan KPod, iaitu vape yang dicampur dengan “agen anestetik etomidate”. - Gambar fail

SINGAPURA: Singapura meluluskan pindaan undang-undang antivap menerusi Rang Undang-Undang Tembakau (Kawalan Iklan dan Jualan) (Pindaan) dan Perkara Lain, yang mengenakan hukuman lebih berat terhadap pengguna, penjual dan penyeludup vap berkuat kuasa 1 Mei 2026.

Akta Tembakau (Kawalan Iklan dan Jualan) 1993 (TCASA) sedia ada akan dinamakan semula sebagai Akta Kawalan Tembakau dan Pengewap 1993 (TVCA) di bawah pindaan itu.

Advertisement

Undang-undang baharu itu akan memperkukuh penguatkuasaan terhadap penggunaan vap dan KPod, iaitu vape yang dicampur dengan “agen anestetik etomidate”, lapor The Straits Times.

Di bawah undang-undang baharu itu, pengguna vap individu boleh dikenakan denda sehingga S$10,000 (kira-kira RM30,800), meningkat daripada S$2,000 sebelum ini manakala penjual vap boleh berdepan denda sehingga S$200,000 dan penjara enam tahun.

Mereka yang mengimport vap kini berdepan hukuman penjara mandatori sehingga sembilan tahun serta denda sehingga S$300,000.

Undang-undang baharu itu turut memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sehingga 15 sebatan terhadap orang dewasa yang melibatkan golongan muda atau individu rentan dalam kegiatan menyeludup atau membekalkan KPod.

Selain itu, mana-mana orang dewasa yang memiliki Kpod tetapi tidak berusaha menghalang golongan muda daripada menggunakannya boleh dipenjara sehingga 10 tahun.

Menurut laporan itu, premis hiburan seperti kelab dan bar perlu menghentikan pelanggan daripada menghisap vap serta mewajibkan mereka membuang peranti itu di bawah undang-undang baharu.

“Mereka yang memandu ke Singapura dan didapati memiliki vap di dalam kenderaan tidak lagi boleh mendakwa bahawa mereka tidak mengetahui peranti itu berada di situ bagi mengelakkan tanggungjawab undang-undang,” menurut laporan itu.

-- BERNAMA

Must Watch Video