Singapura perketat kawal selia digital, fokus lindungi pengguna muda dan bendung ancaman AI

Menurut Teo, kawal selia platform digital kini memasuki fasa baharu. - Astro AWANI
SINGAPURA: Buat pertama kali dalam sejarah, kecerdasan buatan (AI) bukan sekadar teknologi pintar, tetapi telah menjadi kuasa yang membentuk kehidupan harian manusia.
Ringkasan AI
- Kecerdasan buatan (AI) menjadi kuasa yang membentuk kehidupan harian manusia, tetapi turut membawa risiko seperti penyebaran maklumat palsu dan kandungan berbahaya dalam talian.
- Singapura mengambil langkah proaktif dengan memperkenalkan Kod Etika Keselamatan Dalam Talian dan sistem 'age assurance' untuk melindungi pengguna dan memperkukuh keselamatan digital.
- Negara perlu mengambil pendekatan menyeluruh dalam mengawal selia platform digital termasuk melalui audit, sistem 'age assurance', dan tindakan tegas terhadap kandungan berbahaya.
Dalam konteks ini, Singapura muncul sebagai antara negara terawal yang mengambil langkah proaktif, termasuk memperkenalkan Kod Etika Keselamatan Dalam Talian (Code of Practice for Online Safety) dan sistem ‘age assurance’ yang mewajibkan platform mengenal pasti umur pengguna serta menyekat akses kepada kandungan tidak sesuai.
Persoalannya kini, bolehkah pendekatan Singapura dijadikan model oleh Malaysia dan negara lain dalam menangani maklumat palsu, melindungi pengguna muda dan memperkukuh keselamatan digital secara menyeluruh?
Isu ini menjadi tumpuan dalam sesi dialog bersama Menteri Penerangan dan Pembangunan Digital Singapura, Josephine Teo, sempena Program Malaysian Journalist Visit Programme (MJVP) anjuran Kementerian Komunikasi dan Pembangunan Digital Singapura (MDDI) baru-baru ini.
Audit Dedah 50 peratus Kandungan Berbahaya Tidak Diambil Tindakan
Menurut Teo, kawal selia platform digital kini memasuki fasa baharu.
Ini termasuk pelaksanaan wajib sistem ‘age assurance’, audit menyeluruh ke atas aplikasi media sosial, serta kemungkinan penalti terhadap syarikat teknologi yang gagal melindungi pengguna, khususnya kanak-kanak.
“Kami telah mengeluarkan Laporan Penilaian Keselamatan Dalam Talian pertama tahun lalu. Audit mendapati kira-kira 50 peratus kandungan berbahaya yang dilaporkan tidak diambil tindakan, walaupun jelas melanggar garis panduan komuniti,” katanya.
Laporan tersebut turut menamakan platform yang gagal bertindak sebagai langkah ketelusan untuk membolehkan pengguna membuat keputusan yang lebih bijak.
‘Age Assurance’ Diwajibkan, Interaksi Asing Dihadkan
Singapura kini dalam proses mewajibkan sistem ‘age assurance’ di peringkat gedung aplikasi, bagi memastikan hanya pengguna yang mencapai usia minimum dibenarkan memuat turun atau mengakses aplikasi tertentu.
“Jika seorang kanak-kanak tidak mencapai usia minimum, dia tidak sepatutnya berada dalam platform itu. Persoalannya ialah bagaimana kita pastikan umur pengguna diketahui dengan tepat?” ujar Teo.
Negara itu juga merancang memperkenalkan ciri keselamatan tambahan seperti mengehadkan interaksi kanak-kanak kepada “trusted contacts” sahaja, selari dengan prinsip keselamatan di dunia fizikal.
Pendekatan Menyeluruh, Bukan Larangan Total
Mengulas cadangan beberapa negara untuk melarang terus akses media sosial kepada pengguna bawah umur, Teo menyifatkan pendekatan itu sebagai tidak praktikal.
“Kami tidak mahu mendorong kanak-kanak ke ruang internet yang tidak terkawal. Mereka bukan sahaja berada di media sosial, tetapi juga dalam aplikasi permainan dan platform AI. Jika disekat, mereka mungkin beralih ke ruang yang lebih berbahaya,” jelasnya.
Sebaliknya, Singapura memilih pendekatan menyeluruh yang merangkumi pendidikan literasi digital dan AI di sekolah serta kawal selia teknikal yang lebih ketat terhadap platform.
Audit, ‘Mystery Shopping’ dan Tindakan Tegas
Bagi memastikan keberkesanan kawal selia, kementerian turut menjalankan audit bebas dan kaedah “mystery shopping”, termasuk membuka akaun kanak-kanak untuk menguji algoritma dan mengenal pasti kandungan yang dipaparkan.
Hasilnya, kandungan tidak sesuai masih kerap muncul, manakala laporan pengguna terhadap kandungan berbahaya sering lambat ditangani atau tidak diambil tindakan langsung.
“Ini bukan sekadar KPI kementerian. Ia adalah kewajipan undang-undang platform, dan kami mengaudit dakwaan mereka secara bebas,” tegas Teo.
Walaupun undang-undang membenarkan penalti dikenakan, Teo menegaskan bahawa denda bukan matlamat utama.
“Apa yang kami mahukan ialah tindakan. Jika penjelasan platform tidak memadai, kerajaan tidak akan teragak-agak menggunakan kuasa undang-undang yang ada,” katanya.
Tanggungjawab Bersama, Bukan Sekadar Ibu Bapa
Dengan peningkatan kes penderaan siber, pendedahan kepada kandungan berbahaya, serta ancaman deepfake dan penipuan rentas sempadan, Singapura menegaskan bahawa tanggungjawab melindungi pengguna, khususnya golongan muda, tidak boleh diletakkan sepenuhnya kepada ibu bapa atau pengguna.
Sebaliknya, platform digital perlu memikul tanggungjawab yang lebih besar dalam memastikan keselamatan dalam talian, sejajar dengan realiti baharu dunia digital yang semakin kompleks dan berisiko.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


