SINGAPURA: Singapura menyambut baik gencatan senjata antara Israel dan Hamas yang diumumkan awal Jumaat, kata Kementerian Luar (MFA) republik itu.

"Kami menggesa semua pihak untuk mematuhi sepenuhnya gencatan senjata bagi menghentikan keganasan dan mengelakkan orang awam menjadi korban," kata MFA dalam satu kenyataan.

"Kami mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa kedua-dua pihak dan berharap mereka yang cedera akan segera pulih," katanya.

Kementerian itu berkata kerajaan juga akan menyumbang US$100,000 kepada Palang Merah Singapura sebagai dana permulaan untuk melancarkan tabung sumbangan bagi menyediakan bantuan kemanusiaan untuk Gaza.

"Kami menyeru semua pihak berkaitan supaya membantu memastikan bantuan kemanusiaan dapat dihantar secepat mungkin kepada penduduk yang terjejas," katanya.

-- BERNAMA