SINGAPURA: Pemandu warga asing dan kenderaan yang didaftarkan di negara lain perlu memiliki lesen yang sah sebelum dibenarkan untuk menyediakan perkhidmatan rentas sempadan, kata Menteri Pengangkutan Singapura Chee Hong Tat.

"Ini bertujuan melindungi penumpang kerana pemandu yang menggunakan kenderaan berlesen itu dikehendaki mempunyai perlindungan insurans yang sah untuk penumpang...," kata beliau di laman Facebook rasminya.

Sambil memuji usaha Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) republik itu yang baru-baru ini berjaya memintas empat pemandu yang cuba menyediakan khidmat rentas sempadan secara haram, Chee berkata LTA perlu mengambil pendirian tegas terhadap amalan itu dan menjalankan operasi penyamaran untuk menahan pemandu yang melakukan kesalahan tersebut.

"Kepada pemandu yang berniat untuk menawarkan perkhidmatan haram seperti itu, ingin saya jelaskan: fikir dengan sedalam-dalamnya sebelum melanggar peraturan kerana anda tidak pernah tahu sama ada "pelanggan" anda seterusnya adalah pegawai LTA yang menyamar," katanya.

Semasa operasi penguatkuasaan LTA baru-baru ini, empat pemandu ditahan selepas didapati menawarkan perkhidmatan rentas sempadan antara Singapura dan Malaysia secara haram.

"Kami memandang serius kesalahan itu. Untuk keselamatan anda, elakkan daripada menggunakan perkhidmatan tersebut.

"Selain menyalahi undang-undang, kenderaan yang digunakan mungkin tidak mempunyai insurans terhadap pihak ketiga yang boleh menimbulkan masalah serius kepada penumpang sekiranya berlaku kemalangan," menurut LTA.


Pemandu yang ditahan menyediakan perkhidmatan sewaan secara haram, termasuk perkhidmatan rentas sempadan tanpa Lesen Perkhidmatan Kenderaan Awam (PSVL) yang sah, boleh didenda sehingga S$3,000, penjara sehingga enam bulan atau kedua-duanya.

"Kenderaan yang digunakan juga mungkin dirampas," kata pihak berkuasa.

-- BERNAMA