Singapura akan menimbang cadangan mengenai semakan waktu kemasukan percuma bagi kenderaan dari Malaysia memasuki republik itu.

Ketika berucap di Parlimen pada Selasa, Menteri Pengangkutan Singapura Lui Tuck Yew berkata "Saya ambil perhatian cadangan anggota parlimen bagi menyemak semula waktu percuma bagi Permit Masuk Kenderaan (VEP).

"Kami akan mempertimbangkan ini dan juga faktor mengenai kemungkinan Malaysia melaksanakan cadangan mengenakan bayaran ke atas kenderaan bukan didaftarkan di Malaysia memasuki Malaysia, katanya dalam jawapan lisan.

Anggota Parlimen, Dr Lee Bee Wah meminta menteri itu memberi penjelasan sama ada kementerian akan mempertimbangkan untuk mengkaji semula waktu kemasukan percuma bagi kenderaan Malaysia ke Singapura pada hari bekerja kepada selepas 7 malam dan bukan 5 petang seperti sekarang.

Ini supaya sejajar dengan skim semasa bagi kenderaan tempatan yang di bawah Skim Kereta Tidak Sibuk dibenarkan berada di jalan raya hanya selepas 7 malam dan kebanyakan gantri Harga Jalan Elektronik tidak mengenakan bayaran ke atas kenderaan selepas 8 malam.

Menurut Lui, yuran VEP bertujuan untuk mengurangkan perbezaan kos antara memiliki dan menggunakan kenderaan berdaftar di negara asing dan kenderaan berdaftar Singapura di Singapura.

"Rangka kerja ini, bagaimanapun, memperuntukkan waktu dan hari percuma untuk VEP seperti hujung minggu ketika lalu lintas di jalan kita kurang sesak supaya tidak terlampau tidak menggalakkan rakyat asing daripada melawat Singapura," katanya.

Beliau berkata, pada masa ini, kira-kira satu dalam sepuluh kereta pendaftaran asing yang memasuki Singapura perlu menjelaskan bayaran VEP.

Lui berkata purata jumlah kenderaan asing yang memasuki Singapura pada hari biasa dan hujung minggu masing-masing ialah 10,900 dan 12,100 dalam tempoh enam bulan bermula April hingga September 2014.

Angka-angka yang sama tahun lepas masing-masing ialah 11,900 dan 13,600.