PEMAKLUMAN mengenai banjir glasier yang mengorbankan puluhan mangsa minggu lalu, gagal dipertingkatkan berikutan kerja bagi projek sistem amaran awal hanya bermula September lalu.

Pegawai kerajaan berkata, sistem amaran awal banjir itu dijadual dipasang di Himalaya, India tahun lalu.

Projek itu bagaimanapun hanya dimulakan beberapa minggu sebelum kejadian banjir yang mengorbankan sekurang-kurangnya 60 mangsa dengan lebih 100 lagi hilang, selepas pihak berkuasa India gagal mengatur ekspedisi ke tapak itu seperti dirancang tahun lalu.

Sistem amaran awal banjir glasier sudah digunakan di China, Nepal, Pakistan dan Bhutan susulan perubahan iklim melonjakkan risiko banjir sejak beberapa tahun lalu.

Sekumpulan saintis sebelum ini dilaporkan sedang membangunkan sistem amaran di Tasik Lhonak, di timur Laut Sikkim yang akan memberi lebih masa untuk orang ramai berpindah jika tasik itu melimpah dan mencetuskan banjir kilat.

Sistem Tasik Lhonak adalah projek rintis dilaksanakan dengan bantuan agensi Switzerland dan pihak berkuasa pengurusan bencana kebangsaan (NDMA) India sebagai penyelaras utama.

Ahli NDMA, SV Krishna berkata, kelewatan berpunca daripada ekspedisi yang kompleks serta beberapa sebab lain, termasuk kesukaran akses ke tasik yang terletak di pergunungan di sempadan India-China itu dan hanya boleh diakses antara Julai hingga September.

Banyak komuniti berdepan risiko banjir glasier susulan perubahan iklim terutama di kawasan pergunungan.

Tasik yang menampung air dari glasier cair boleh melimpah, menyebabkan aliran arus deras ke kawasan lembah gunung.

Penyelidikan 2022 mendapati lebih 200 tasik serupa kini menimbulkan bahaya sangat tinggi kepada komuniti Himalaya di India, Nepal, China, Bhutan dan Pakistan.

Sikkim, yang terletak antara China, Nepal dan Bhutan, melakukan semakan semula jumlah kematian akibat bencana yang menurun daripada 74 kes minggu lalu, selain menjelaskan beberapa mayat dikira sebanyak dua kali.