LONDON: Sistem kereta api Britain sekali lagi terhenti dan penerbangan di Eropah terganggu apabila mogok dalam sektor pelancongan melanda benua itu, semalam.

Berpuluh-puluh ribu pekerja kereta api di United Kingdom melakukan tindakan mogok sepanjang hari hingga menghalang rancangan hujung minggu kebanyakan orang ramai.

Hanya kira-kira satu perlima perkhidmatan beroperasi pada waktu sangat terhad dan beroperasi lebih lewat pada waktu pagi daripada biasa, tamat seawal jam 6.30 petang waktu tempatan.

Kesatuan Kereta Api (RMT) menegaskan tindakan mogok itu perlu berikutan gaji yang tidak seiring dengan inflasi UK, yang telah mencecah paras tertinggi sepanjang 40 tahun.

Malah, kadar itu dijangka terus meningkat dalam waktu terdekat.

Setiausaha Agung RMT, Mick Lynch, berkata ahlinya bertahan untuk mendapatkan kenaikan gaji dan jaminan pekerjaan.

Menurutnya, dalam ekonomi moden, pekerja perlu diberi ganjaran sewajarnya untuk kerja mereka, menikmati keadaan yang baik dan mempunyai ketenangan fikiran bahawa pekerjaan mereka tidak akan diambil daripada mereka.

Ketua Eksekutif Network Rail, Andrew Haines, berkata keputusan RMT untuk melaksanakan satu lagi tindakan mogok yang tidak perlu bermakna penumpang akan berdepan kesusahan.

Britain, seperti kebanyakan Eropah, mengalami inflasi yang tinggi dan pertumbuhan ekonomi yang tidak stabil, meningkatkan prospek mogok musim panas di seluruh benua.

Pada Jumaat, kakitangan dari syarikat penerbangan tambang rendah Rreland, Ryanair melancarkan mogok di Sepanyol, Itali, Perancis, Portugal dan Belgium, mendorong  pembatalan dua penerbangan antara Lisbon dan Brussels.

Sektor penerbangan sedang bergelut untuk pulih daripada pandemik COVID-19, yang membawa kepada pemberhentian besar-besaran apabila perjalanan antarabangsa ditangguhkan.

Berdepan dengan kekurangan kakitangan, Lapangan Terbang Schiphol, Amsterdam terpaksa mengumumkan awal bulan ini bahawa ia akan mengehadkan bilangan pengembara pada musim panas ini dan membatalkan penerbangan.

Kekurangan itu telah menyebabkan beratus-ratus penerbangan dibatalkan, manakala jumlah barisan menunggu telah menimbulkan kemarahan pelancong.