KUALA LUMPUR: Satu sistem penarafan universiti peringkat BRICS sedang dibangunkan menerusi kerjasama India dan Rusia, dan berpotensi diperluas ke negara anggota BRICS lain pada masa hadapan, kata Pengarah Dewan Kerjasama Teknologi Indo-Rusia, Debjit Chakraborty.
Beliau berkata, projek itu dibangunkan bersama sebuah universiti utama berpangkalan di Moscow dan akan diuji terlebih dahulu antara India dan Rusia, lapor TV BRICS.
Chakraborty berkata, inisiatif itu merupakan sebahagian daripada strategi lebih meluas yang digerakkan Hab Teknologi Indo-Rusia Innopraktika bersama rakan kerjasamanya untuk menghasilkan produk dan rangka kerja teknologi bersama yang kemudiannya boleh diperkenalkan di seluruh komuniti BRICS+.
Beliau berkata, India dan Rusia kini giat bekerjasama dalam pelbagai sektor teknologi mendalam (deep-tech), termasuk kecerdasan buatan (AI), keselamatan siber, teknologi kesihatan, teknologi pendidikan dan infrastruktur digital dipercayai.
Chakraborty berkata, rakan kerjasama turut membincangkan projek tenaga hijau, dengan sebahagiannya telah mencatat kemajuan ketara.
Beliau menambah, penyelesaian yang dibangunkan bersama India dan Rusia boleh dijadikan model kepada negara BRICS dan Selatan Global lain, termasuk pasaran di Asia Barat, Afrika dan Asia Tenggara.
“Segala yang kami lakukan bertujuan merangkumi keseluruhan komuniti BRICS+, bukan hanya India dan Rusia,” katanya dalam temu bual bersama TV BRICS sempena Forum Ekonomi Antarabangsa St. Petersburg (SPIEF).
Chakraborty turut menyatakan keyakinan bahawa inisiatif seperti Forum Teknologi BRICS+ dan projek teknologi kedaulatan bersama mampu memperkukuh kebergantungan teknologi kendiri dalam kalangan anggota kumpulan itu serta menyumbang kepada pembentukan ekosistem inovasi bersama bagi negara BRICS.
-- BERNAMA