SINGAPURA: Singapura memantau dengan teliti situasi COVID-19 global dan bersedia untuk melaksanakan semula langkah-langkah kesihatan sempadan untuk negara tertentu bergantung kepada situasi semasa, menurut Kementerian Kesihatan (MOH) republik itu pada Jumaat.

"Beban kes meningkat di kebanyakan negara disebabkan oleh peningkatan perjalanan antarabangsa dan bermulanya musim sejuk di Hemisfera Utara," menurut kementerian itu, sambil menyatakan bahawa China kini berdepan gelombang jangkitan besar, menjadi kebimbangan khusus.

Kementerian dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa orang ramai menyuarakan kebimbangan mengenai tahap jangkitan yang tinggi di China dan pengumuman kelonggaran sekatan perjalanan di sempadan bermula 8 Jan 2023.

Kenyataan itu menggariskan dua kebimbangan khusus iaitu yang pertama, "kemungkinan kemunculan varian baharu dan lebih berbahaya."

Singapura bekerjasama dengan rakan kongsi antarabangsa termasuk GISAID (Global Initiative on Sharing Avian Influenza Data), yang mengekalkan pangkalan data genomik patogen bagi memantau varian yang menular di seluruh dunia.

"Kami turut menjalankan pengawasan genomik ke atas kes tempatan dan import.

"Setakat ini, berdasarkan hasil penjujukan genom yang dikemukakan oleh Pusat Kawalan Penyakit di pelbagai bandar di China, tiada varian baharu dikesan dengan kadar jangkitan yang lebih teruk daripada sub-varian yang dikenal pasti sebelum ini.

Kebimbangan kedua ialah "pelancong asing tidak seharusnya menambah beban sistem kesihatan kami," menurut kementerian itu.

Pada masa ini, lapangan terbang Singapura menyaksikan ketibaan sekitar 700 dan 1,000 orang dari China setiap hari, atau kira-kira 1.0 peratus hingga 1.5 peratus daripada jumlah ketibaan harian melalui udara, majoritinya terdiri daripada penduduk dan pemegang pas jangka panjang yang kembali ke republik itu.

Setiap minggu, kementerian mengesan 40 hingga 80 kes COVID-19 daripada kumpulan ini.

Kesemua mereka menunjukkan simptom ringan, kecuali seorang warga Singapura yang mengalami masalah kesihatan yang teruk selepas perjalanan ke China baru-baru ini.

Memandangkan perjalanan udara dengan China akan dipulihkan secara progresif, MOH memaklumkan pihaknya akan mengambil pendekatan berhati-hati sebelum meningkatkan kapasiti kemasukan, dengan mengambil kira penilaian kesihatan awam secara keseluruhan.

Walaupun banyak negara telah menarik balik sepenuhnya langkah berkaitan kesihatan awam di sempadan, MOH mengingatkan bahawa Singapura tidak berbuat demikian dan mengekalkan beberapa langkah.

Pengembara yang tidak lengkap suntikan vaksin dan ingin memasuki Singapura perlu melakukan ujian pra-berlepas (PDT) dalam masa dua hari sebelum tiba.

Pelawat Jangka Pendek (STV) yang tidak divaksin sepenuhnya juga perlu mendapatkan insurans perjalanan dengan perlindungan minimum S$30,000 untuk perbelanjaan perubatan berkaitan COVID.

Semua pengembara yang menggunakan laluan udara dan laut dikehendaki mengemukakan pengisytiharan kesihatan semasa ketibaan, menurut MOH.

Langkah-langkah ini mampu mengurangkan risiko kes import yang teruk dan tidak menjejaskan kapasiti penjagaan kesihatan republik itu.

"Bagaimanapun, kami akan meneliti perkembangan kesihatan dari semasa ke semasa, termasuk sistem penjagaan kesihatan kami sendiri.

"Kami bersedia untuk mengembalikan semula langkah-langkah kesihatan sempadan untuk negara-negara tertentu berdasarkan situasi terkini," menurut kementerian itu.

-- BERNAMA