Speaker Parlimen Iran, Ali Larijani menjadi mangsa pertama dalam kalangan pegawai kerajaan tertinggi negara itu yang dijangkiti COVID-19.

Memetik laporan agensi berita Islamic Republic News Agency (IRNA), Larijani dijangkiti virus itu selepas dilaporkan mengalami simptom-simptom pada pernafasan dan dipercayai sedang menjalani rawatan serta proses kuarantin.

Terdahulu, Larijani dalam satu kenyataan berkata cara negara itu menangani pandemik COVID-19 lebih baik berbanding negara-negara lain serta memuji komitmen diberikan kementerian kesihatan dan anggota tenteranya.

Sebelum ini, seramai 23 Ahli Parlimen Iran telah disahkan positif COVID-19, menurut Timbalan Speaker Parlimen Iran, Abdul Reza Misri.

BACA: 23 ahli Parlimen Iran disahkan positif COVID-19

Republik Islam itu, setakat Khamis, mencatatkan 50,468 kes jangkitan dan 3,160 kematian, menjadikannya antara negara di Asia Barat yang paling teruk terjejas akibat COVID-19.

BACA: Kes positif COVID-19 seluruh dunia dijangka lepasi angka 1 juta