LONDON: Saintis menemui semula spesies mamalia yang telah lama hilang di Pergunungan Cyclops, Papua, Indonesia, lebih 60 tahun selepas kali terakhir ia direkodkan.

Echidna Attenborough's long-beaked, dinamakan sempena aktivis alam sekitar British, David Attenborough, dirakam buat kali pertama pada hari terakhir ekspedisi empat minggu yang diketuai oleh sekumpulan saintis dari Universiti Oxford.

Ahli biologi, James Kempton menemui imej haiwan kecil itu berjalan melalui semak pada kad memori terakhir yang diambil daripada lebih 80 buah kamera jarak jauh.

"Tidak dapat digambarkan keterujaan kami, dan juga kelegaan setelah menghabiskan masa yang lama di lapangan tanpa pulangan, sehingga hari terakhir," katanya.

Echidna mempunyai nama yang sama dengan makhluk mitologi Yunani, dan disifatkan oleh pasukan saintis sebagai pemalu dan aktif pada waktu malam.

"Ia tergolong dalam kumpulan monotreme, kumpulan haiwan bertelur yang dipisahkan daripada seluruh spesies mamalia kira-kira 200 juta tahun lalu," kata Kempton.

Spesies ini pernah sekali direkodkan secara saintifik, oleh ahli botani Belanda pada tahun 1961. Spesies echidna yang berbeza boleh ditemui di Australia dan tanah rendah New Guinea.

Echidna biasanya disebut dalam budaya setempat, termasuk tradisi yang menyatakan konflik diselesaikan dengan menghantar satu pihak yang berselisih faham ke dalam hutan untuk mencarinya dan satu lagi pihak ke lautan untuk mencari sejenis ikan, marlin.

Kedua-dua haiwan ini begitu sukar untuk ditemui namun jika ia berjaya ditemui, haiwan itu melambangkan berakhirnya konflik dan kembali kepada hubungan yang harmoni.