Starmer berikrar kekal lima tahun sebagai Perdana Menteri UK, gesa hubungan lebih rapat dengan EU

Starmer menegaskan, beliau akan menghabiskan tempoh lima tahun sebagai Perdana Menteri Britain di sebalik spekulasi Parti Buruh akan menggantikannya selepas pilihan raya tempatan akan datang. - Gambar fail Reuters
LONDON: Perdana Menteri Britain, Keir Starmer menegaskan, beliau akan menghabiskan tempoh lima tahun sebagai pemimpin negara itu, di sebalik spekulasi bahawa Parti Buruh yang diterajuinya mungkin menggantikan beliau selepas pilihan raya tempatan akan datang.
Starmer yang memenangi kuasa pada Julai 2024 turut menyatakan, Britain perlu terus menjalin hubungan lebih rapat dengan pasaran tunggal Kesatuan Eropah (EU), sambil menyifatkan langkah itu sebagai kepentingan nasional.
Lebih sedekad selepas rakyat Britain mengundi untuk keluar daripada EU, pendirian Starmer dijangka mengundang kritikan daripada penyokong tegar Brexit seperti Nigel Farage.
Parti Reform UK yang anti-imigrasi dan berhaluan kanan pimpinan Farage kini mendahului tinjauan pendapat sejak setahun lalu dan dijangka mencatatkan kemenangan besar dalam pilihan raya tempatan Mei ini, selain berpotensi memenangi pilihan raya umum yang dijadualkan selewat-lewatnya Ogos 2029.
Dalam temu bual bersama BBC, Starmer memberi amaran, Britain akan “berpecah secara toksik” jika Reform UK mengambil alih kuasa, sambil berikrar memimpin Parti Buruh dalam “perjuangan terbesar” menentang agenda Farage yang disifatkannya “sangat berhaluan kanan.”
“Saya dipilih pada 2024 dengan mandat lima tahun untuk mengubah negara, dan itulah yang saya akan lakukan,” katanya.
Populariti merudum, tekanan dalaman
Populariti Starmer merosot ke tahap terendah sepanjang 18 bulan pemerintahannya, menurut tinjauan.
Tahun 2025 menyaksikan pelbagai krisis termasuk pusingan-U dasar, peletakan jawatan menteri dan kontroversi dalaman, sekali gus mencetuskan spekulasi bahawa ahli Parlimen Buruh akan mendesak perubahan kepimpinan selepas keputusan buruk dalam pilihan raya tempatan Mei ini.
Starmer yang menjadikan pertumbuhan ekonomi sebagai agenda utama menegaskan, pencapaian kerajaan sejak beliau mengambil alih tidak diberi perhatian sewajarnya, dan yakin UK akan “berubah haluan” pada 2026.
Hubungan dengan EU semakin baik
Beliau turut menyifatkan hubungan dengan EU kini berada pada tahap terbaik dalam sedekad, termasuk keputusan Britain untuk menyertai semula program pertukaran pelajar Erasmus bulan lalu, hampir lima tahun selepas meninggalkan skim itu pasca-Brexit.
Kerajaan juga melaksanakan penyelarasan sektor makanan dan pertanian dengan pasaran tunggal EU tahun ini.
Walaupun menolak untuk kembali kepada kesatuan kastam atau kebebasan pergerakan, Starmer menegaskan, Britain perlu terus “rapat” dengan blok tersebut.
“Saya fikir ini demi kepentingan negara untuk pergi lebih jauh,” katanya, sambil menambah penyelarasan pasaran tunggal perlu dipertimbangkan “mengikut isu dan sektor.” - Agensi
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


