TEHRAN: Seluruh pengoperasian stesen minyak di Iran lumpuh akibat daripada serangan siber, sekali gus menyebabkan orang ramai terpaksa menunggu berjam-jam untuk mengisi minyak.

Menurut laporan media tempatan, ISNA, rakyat yang ingin mengisi minyak menggunakan kad subsidi yang disediakan kerajaan akan menerima mesej ‘cyberattack 64411’.

Lima angka itu dipercayai merujuk kepada nombor telefon pejabat Pemimpin Tertinggi Iran, Ayatullah Khomeini.

Malah, nombor 64411 itu sendiri pernah digunakan dalam serangan siber di Iran pada Julai 2021.

Setakat ini, tiada pihak yang mengaku bertanggungjawab atas kejadian yang menimbulkan kekecohan di seluruh negara itu.

Majoriti rakyat Iran bergantung penuh kepada bekalan minyak yang disubsidi oleh pemerintah dan disebabkan itu ia mencetuskan kekecohan di kawasan stesen minyak.

Ada yang telah menunggu selama beberapa jam di stesen minyak kerana mendapati tiada bahan api di stesen minyak kawasan lain.

Kejadian itu dikatakan mempunyai persamaan dengan satu lagi serangan beberapa bulan sebelum ini yang seolah-olah mencabar Pemimpin Tertinggi Iran Ayatollah Ali Khamenei ketika ekonomi negara itu terjejas di bawah sekatan Amerika Syarikat.

Masalah ekonomi itu bertambah buruk apabila AS dan Iran masih belum bersama-sama menyertai semula perjanjian nuklear Tehran yang menerima tekanan oleh kuasa dunia.