Punca sakit dalam telinga selama dua hari akhirnya terjawab selepas seorang doktor di Thailand menemui seekor cicak di dalamnya.

Dr Varanya Nganthavee, 25, terkejut selepas menemukan haiwan tersebut di dalam telinga pesakitnya pada hari pertama dia bertugas di Hospital Rajavithi di Bangkok pada Isnin lalu.

"Ia adalah kes terakhir saya pada hari tersebut. Saya keliru. Bagaimana cicak sebesar itu boleh memasuki lubang telinga?" menurut kapsyen gambar yang dimuat naik olehnya di Facebook.

Dia turut bimbang jika ada bahagian anggota lain haiwan itu tertinggal di dalam telinga pesakitnya selepas cicak tersebut dikeluarkan menggunakan titisan anestetik. Dr Varanya kemudiannya membawa pesakitnya ke pakar telinga, hidung dan tekak (ENT) pada Selasa lalu.

"Doktor mengesahkan masih terdapat ekor cicak terbabit. Saya sangat gembira! Doktor itu turut memuji saya kerana melakukan tugas dengan baik," ujarnya.

Difahamkan, ia adalah sejenis cicak rumah yang digelar Jing Jok yang biasa ditemukan di Thailand.

Tetapi bagaimana ia masuk ke dalam telinga dan berada di dalamnya selama 48 jam turut membingungkan doktor. - Agensi

VIDEO: 25 ekor anak lipas ditemui dalam telinga

BACA JUGA: Lelaki tahan sakit apabila telinga dimasuki lipas