Skip to main content

Dunia

"Sudah tiba masanya Ukraine cari pemimpin baharu ganti Zelenskyy," kata Donald Trump

Trump mendakwa, Zelenskyy mahu "menimbulkan masalah kepada dunia" dengan terus meluluskan serangan terhadap kilang penapisan minyak Rusia. - Gambar AP
Trump mendakwa, Zelenskyy mahu "menimbulkan masalah kepada dunia" dengan terus meluluskan serangan terhadap kilang penapisan minyak Rusia. - Gambar AP

Advertisement

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump berkata, sudah tiba masanya Ukraine mendapatkan Presiden baharu susulan kritikan keras Presiden Volodymyr Zelenskyy terhadap perjanjian eksport diesel yang dimeterai antara Washington dan Moscow.

Zelenskyy sebelum ini memberi amaran bahawa keputusan membenarkan berjuta-juta tan diesel Rusia memasuki pasaran AS akan menyediakan sumber kewangan tambahan kepada Moscow untuk meneruskan peperangan terhadap Ukraine.

Beliau turut menyifatkan langkah itu sebagai satu "hadiah" kepada Presiden Rusia, Vladimir Putin.

Bercakap kepada pemberita di luar Whiet House pada Sabtu, Trump mendakwa, Zelenskyy mahu "menimbulkan masalah kepada dunia" dengan terus meluluskan serangan terhadap kilang penapisan minyak Rusia.

"Dia lebih baik hentikannya segera," tegas Trump.

Trump turut mencadangkan Ukraine mendapatkan seorang pemimpin yang mampu mencapai perjanjian damai dengan Rusia.

Bekalan bahan api global, termasuk diesel, ketika ini berdepan tekanan akibat perang terhadap Iran yang dilancarkan oleh AS dan Israel, yang membawa kepada gangguan besar di Selat Hormuz, laluan strategik yang mengendalikan kira-kira satu perlima perdagangan produk petroleum dunia.

Dalam masa sama, Rusia dan Ukraine turut memperhebatkan serangan terhadap infrastruktur tenaga serta kemudahan pengangkutan masing-masing, sekali gus menambah ketidaktentuan dalam pasaran tenaga global.

"Kami sudah berkata, kamu boleh lakukan apa sahaja terhadap Rusia, tetapi jangan serang kilang penapisan kerana kesannya menjadi masalah dunia.

"Dia sepatutnya sudah boleh membuat banyak perjanjian, tetapi atas sebab tertentu dia tidak pernah melakukannya," kata Trump lagi.

Utusan khas Putin, Kirill Dmitriev menyifatkan kenyataan Trump itu sebagai sesuatu yang "bersejarah dan ikonik", sambil menegaskan, Ukraine memerlukan kepimpinan yang benar-benar memberi fokus kepada usaha damai.

Pada Jumaat, Trump mengesahkan satu persetujuan dicapai dengan Moscow untuk menggantung sekatan terhadap eksport diesel Rusia sehingga 7 April.

Mengulas keputusan itu, Zelenskyy berkata langkah berkenaan akan membolehkan Rusia menjana dana baharu bagi mendapatkan kelengkapan ketenteraan tambahan untuk meneruskan perang.

Beliau juga menuduh Moscow mentafsir perjanjian tersebut sebagai isyarat bahawa mereka boleh terus melancarkan operasi ketenteraan dan mengebom bandar-bandar Ukraine, merujuk kepada serangan terbaharu yang mengorbankan nyawa di Zaporizhzhia.

Pada Sabtu, Zelenskyy mengadakan perbincangan dengan beberapa sekutu antarabangsa berhubung perkembangan terbaharu itu dan menggesa tindakan segera diambil bagi melindungi nyawa rakyat Ukraine serta menjamin keselamatan Eropah.

Jurucakap Downing Street memaklumkany Perdana Menteri Britain, Andy Burnham turut menghubungi Zelenskyy dan menyatakan solidariti penuh London terhadap Kyiv.

Menurut jurucakap itu, kedua-dua pemimpin bersetuju bahawa Rusia perlu menerima pelaksanaan gencatan senjata segera melibatkan sektor tenaga serta menghentikan serangan terhadap perkapalan di Laut Hitam.

Langkah berkenaan, katanya, mampu meningkatkan bekalan tenaga dan makanan ke pasaran global dalam tempoh terdekat.

Perjanjian diesel AS-Rusia itu turut mengundang kritikan Ketua Dasar Luar Kesatuan Eropah (EU), Kaja Kallas yang senada dengan Zelenskyy bahawa penggantungan sekatan eksport diesel hanya akan memberi Moscow lebih banyak hasil untuk membiayai peperangan.

"Ini bukan masanya untuk mengurangkan tekanan terhadap Rusia dan Eropah tidak akan berbuat demikian," katanya.

Kallas berkata, Menteri-Menteri Luar EU dijangka meluluskan pakej sekatan terbesar terhadap Rusia sejak pencerobohan berskala penuh ke atas Ukraine bermula pada 2022.

Perjanjian dengan Rusia itu dilihat sebagai usaha terbaharu Trump untuk menurunkan harga bahan api di AS menjelang pilihan raya pertengahan penggal, selepas berdepan tekanan politik susulan perang Iran yang tercetus sejak Februari lalu.

Konflik tersebut menyebabkan harga petrol dan diesel meningkat mendadak, sekali gus menjejaskan sokongan rakyat AS apabila kos bahan api serta inflasi turut meningkat.

Menurut Persatuan Automobil Amerika (AAA), harga purata diesel kini mencecah AS$6.28 segelen berbanding AS$5.94 bulan lalu dan AS$3.68 pada tempoh sama tahun lalu.

Di bawah perjanjian itu, Rusia akan melepaskan 300,000 tan diesel ke pasaran AS dan global sebagai penghantaran awal, diikuti tambahan 500,000 tan pada November.

Trump menerusi platform Truth Social berkata, bekalan itu akan disusuli satu juta tan lagi sebelum tambahan tiga juta tan diesel dihantar dalam tempoh singkat, namun tertakluk kepada keadaan operasi kilang penapisan Rusia.

Dalam tempoh 10 bulan lalu, Rusia berdepan dua gelombang kekurangan bahan api yang serius akibat serangan dron Ukraine terhadap kemudahan penapisan minyaknya.

Agensi Tenaga Antarabangsa (IEA) menganggarkan pengeluaran diesel Rusia susut kira-kira 30 peratus susulan serangan berkenaan.

Trump sebelum ini turut menggesa pilihan raya baharu diadakan di Ukraine pada Disember tahun lalu dengan alasan rakyat negara itu perlu diberi peluang menentukan sama ada mahu mengekalkan atau menggantikan Zelensky.

Sejak perang meletus pada 2022, Ukraine berada di bawah undang-undang darurat yang menyebabkan semua pilihan raya digantung. - Agensi

Must Watch Video

Advertisement