Majlis Keluarga Diraja Oman hari ini mengumumkan pelantikan Sultan Haitham bin Tariq Al Said sebagai pengganti Sultan Qaboos bin Said al Said yang meninggal dunia pada Jumaat.

Lapor stesen televisyen Al Jazeera, Sultan Haitham mengambil alih pucuk pimpinan selepas pemerintahan lima dekad Sultan Qaboos.

Sultan Haitham yang berusia 65 tahun adalah lulusan University Oxford dan dipercayai telah mengambil sumpah untuk mewarisi pemerintahan sepupunya itu.

Baginda adalah anak kepada bapa saudara Allhayarham Sultan Qaboos, Sayyid Tariq bin Taimur Al Said.

Sebelum ini baginda pernah memegang jawatan Menteri Warisan dan Kebudayaan Kebangsaan Oman.


Pemerintah terdahulu, Allahyarham Sultan Qaboos tidak mempunyai anak dan adik beradik selain tidak pernah secara terbuka melantik pewarisnya.

Majlis Keluarga Diraja Oman terdiri daripada 50 anggota keluarga dan mempunyai tiga hari untuk melantik Raja yang baharu.

Dilaporkan kesemua anggota majlis itu bersetuju dengan pelantikan Sultan Haitham.

Mengikut protokol, sekiranya tiada persetujuan dicapai, satu sampul surat yang mengandungi satu nama yang dipilih oleh Raja terdahulu akan dibuka dan dinamakan sebagai pengganti.

Sultan Qaboos mangkat di usia 79 tahun selepas disahkan menghidap kanser usus dan tidak muncul di khalayak selepas menjalani rawatan di Jerman pada 2015.



Sultan Qaboos memerintah negara Teluk Arab itu selepas rampasan kuasa pada tahun 1970.