MANILA:Kepulauan Sulu di selatan Filipina akan ditutup selama dua minggu bermula Isnin bagi mengekang varian baharu COVID-19 yang dikatakan ditemui di Malaysia.

Memetik laporan Reuters, perkara tersebut diumumkan oleh Gabenor Sulu, Abdusakur Tan, yang memberitahu langkah itu diambil susulan varian pandemik itu dilaporkan ditemui di Sabah.

Kata beliau, penutupan itu akan dilaksanakan dari 4 hingga 17 Januari 2021 tetapi ia boleh dilanjutkan jika perlu.

 Seorang wanita menjalani ujian COVID-19 di sebuah stesen ujian, di Kota Makati, Metro Manila.

"Langkah ini bagi melindungi wilayah kita daripada varian COVID-19 di Sabah, memandang ia berada begitu dekat dengan kita.

"Penduduk yang tidak berada di pulau ini akan dilarang masuk bermula pada Isnin," katanya.

BACA: Varian baharu COVID-19: Kerajaan terus waspada walaupun belum dikesan

BACA: COVID-19: Fahami istilah mutasi, strain dan varian

Sulu mempunyai lebih 900,000 penduduk dan sehingga kini merekodkan dua kes aktif daripada keseluruhan 242 kes positif yang dilaporkan dengan 12 kematian sebelum ini.

Masyarakat Sulu telah meminta kerajaan supaya menyediakan lebih banyak kapal dan helikopter untuk memantau sempadan kepulauan itu dengan Malaysia.

Ini kerana walaupun terdapat syarat kemasukan dan kuarantin yang ketat di lapangan terbang antarabangsa, namun sempadan laut di kawasan itu sangat luas serta menjadi laluan perdagangan sejak sekian lama.


Pada 23 Disember lalu, Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, strain virus baharu COVID-19 telah dikenal pasti di negara ini, berdasarkan sampel yang diambil di Sabah.

"Tetapi kita masih tak pasti sama ada impak klinikal seperti berapa kadar kebolehjangkitan itu tinggi atau keganasan virus (dalam mutasi itu).

"Virus COVID-19 ini sentiasa bermutasi cuma kita perlu tahu apa impak kesihatan daripada mutasi itu," katanya dalam sidang media harian Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Beliau bagaimanapun pada 25 Disember lalu dilaporkan berkata, mutasi baharu COVID-19 dikenali sebagai VUI-202012/01 yang ditemui di United Kingdom belum dikesan di negara ini.

Varian baharu tersebut didapati menunjukkan peningkatan sebanyak 70 peratus kadar penghantaran dan peningkatan kes tiga kali ganda dalam tempoh pemberitahuan iaitu 14 hari.