COLOGNE: Sungai Rhine di bandar Cologne, barat Jerman, mencatatkan paras terendah ketika sungai-sungai di negara itu terus terjejas akibat cuaca panas dan kemarau sepanjang musim panas, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Pihak Berkuasa Laluan Air dan Perkapalan Rhine memaklumkan, bacaan tolok air di tebing Sungai Rhine di bandar itu susut kepada hanya 40 sentimeter pada Isnin.
"Pada 40 sentimeter, kita mencatatkan paras air terendah dalam rekod," kata pegawai Markus Neumann kepada dpa.
Beliau berkata hanya beberapa kapal masih beroperasi sambil memberi amaran bahawa "aktiviti perkapalan berkurangan dengan sangat ketara."
Paras air yang rendah di Sungai Rhine dan sungai-sungai lain di Jerman menyebabkan gangguan ketara terhadap ekonomi sejak beberapa bulan kebelakangan ini apabila pengangkutan bahan-bahan penting melalui sungai tidak lagi dapat dilakukan.
Masalah itu kembali berlaku pada minggu terakhir September apabila bacaan tolok di lokasi kritikal bagi laluan perkapalan di Kaub berhampiran Mainz turun dua hingga lima sentimeter di bawah rekod terendah sebelum ini yang dicatat pada 17 Ogos.
Menurut Institut Hidrologi Persekutuan (BfG), tiada tanda-tanda pemulihan berkekalan bagi situasi paras air rendah itu dalam masa terdekat. Hujan yang diramalkan pada minggu pertama Oktober mungkin memberikan kelegaan sementara.
-- BERNAMA-dpa