DUNIA
Sungai Seine dibuka semula untuk renang di Paris selepas 100 tahun

Orang ramai menikmati suasana dan berenang di lokasi mandian selamat Grenelle di Sungai Seine, Paris. - Foto AP
PARIS: Buat pertama kali sejak tahun 1923, warga Paris dan pelancong kini boleh berenang di Sungai Seine, selepas larangan selama satu abad ditamatkan secara rasmi pada Sabtu lalu.
Pembukaan semula ini menandakan kejayaan besar dalam projek pembersihan bernilai €1.4 bilion (RM6.96 bilion), yang dijalankan menjelang Sukan Olimpik Paris 2024, di mana acara renang terbuka dan triatlon telah berlangsung di sungai bersejarah itu.
Majlis perasmian diadakan di zon renang Bras Marie, berhampiran Île Saint-Louis, dengan kehadiran Datuk Bandar Paris Anne Hidalgo, yang menyifatkan detik itu sebagai “impian zaman kanak-kanak”.
Tiga lokasi renang kini dibuka kepada umum - termasuk berhampiran Menara Eiffel dan Notre-Dame - lengkap dengan bilik persalinan, pancuran air dan kawasan berjemur, mampu menampung sehingga 300 orang pada satu masa.Pihak berkuasa menegaskan bahawa kualiti air kini berada pada tahap “luar biasa”, dengan bacaan bakteria E. coli dan enterokokus jauh di bawah paras bahaya.
Namun, amaran tetap dikeluarkan berhubung arus deras, trafik bot dan kedalaman purata 3.5 meter, serta larangan berenang di luar zon yang ditetapkan.
Larangan asal dikenakan pada tahun 1923 akibat pencemaran teruk, dan usaha untuk membukanya semula bermula sejak 1988 oleh bekas Datuk Bandar Paris, Jacques Chirac, yang kemudian menjadi Presiden Perancis.
Presiden Emmanuel Macron turut menyambut pembukaan ini sebagai “hasil usaha kolektif” dan “kebanggaan negara”.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami