KATHMANDU: Bakal Perdana Menteri Nepal, Balendra Shah - seorang penyanyi rap yang kini bergelar ahli politik menyampaikan mesej pasca kemenangan pilihan raya melalui sebuah lagu rap pada Khamis (26 Mac) dengan menyeru rakyat supaya bersatu.
Balendra Shah, 35, yang lebih dikenali sebagai Balen menekankan mesej “kekuatan perpaduan adalah kuasa negara” dalam lagu terbaharu itu yang mendapat puluhan ribu tontonan hanya beberapa minit selepas dimuat naik ke media sosial.
Advertisement
Dalam masa sama, beliau turut menyatakan bahawa rakyat Nepal “tidak berpecah” dan “sedang mencipta sejarah” sambil menyampaikan mesej dalam bahasa Nepali.
Balendra Shah yang sentiasa tampil bergaya dengan cermin mata hitam menjadi simbol perubahan politik yang didorong golongan muda.
Beliau dijangka mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri hari ini.
Kemenangan besar parti pimpinannya, Rastriya Swatantra Party (RSP) dalam pilihan raya 5 Mac merupakan kemenangan yang mencatat sejarah - pilihan raya pertama sejak kebangkitan belia pada September 2025 yang menyebabkan sekurang-kurangnya 77 maut.
Protes itu, yang bermula selepas larangan sementara ke atas media sosial, kemudian bertukar menjadi gerakan besar membantah rasuah dan kesukaran ekonomi.
Balendra Shah sebelum ini berdiam diri selepas kemenangannya, namun lagu baharu bertajuk “Jay Mahakaali” yang dinamakan sempena dewi Hindu yang berpengaruh, memaparkan mesej solidariti dan keberanian.
Antara bait lirik lagu berkenaan ialah:
“Hatiku penuh keberanian, darahku mendidih; saudara-saudaraku berdiri bersama, kali ini kita akan bangkit.”
Mengiringi lagu rap itu ialah klip video yang menampilkan rakaman beliau berkempen dan usaha menjelajah kawasan pengundinya.
Balendra Shah telah mengangkat sumpah sebagai Ahli Parlimen pada Khamis, namun majlis rasmi sebagai Perdana Menteri akan berlangsung sehari kemudian.
Langkahnya untuk meninggalkan jawatan Datuk Bandar Kathmandu bagi mencabar bekas Perdana Menteri empat penggal, KP Sharma Oli, dianggap satu perjudian politik yang besar — namun berjaya.
Bukan sahaja Balendra Shah menewaskan Oli di kerusinya sendiri, partinya RSP turut memperoleh majoriti kukuh dengan 182 daripada 275 kerusi di Dewan Rendah Parlimen. - Agensi