TEHRAN: Sebuah kapal tangki gergasi Iran berjaya melepasi sekatan laut Amerika Syarikat (AS) dan kini berada di rantau Asia Pasifik sambil membawa lebih 1.9 juta tong minyak mentah bernilai hampir AS$220 juta, menurut firma pemantau perkapalan TankerTrackers.com.
Dalam satu hantaran di platform X, TankerTrackers mengenal pasti kapal jenis 'Very Large Crude Carrier' (VLCC) itu sebagai HUGE, milik Syarikat Kapal Tangki Nasional Iran.
Advertisement
Kapal berkenaan kali terakhir dikesan di perairan Sri Lanka lebih seminggu lalu dan kini dikatakan melalui Selat Lombok, Indonesia, menuju ke Kepulauan Riau.
Firma itu berkata HUGE berada di perairan Iran pada 13 April, tarikh Washington mengumumkan sekatan terhadap pelabuhan Iran.
Kapal tersebut dilaporkan tidak menghantar isyarat Sistem Pengenalan Automatik (AIS) sejak 20 Mac, apabila ia berlepas dari Selat Melaka menuju ke Iran.
Perkembangan itu berlaku ketika media rasmi Iran mendakwa pada 29 April bahawa sekurang-kurangnya 52 kapal Iran telah berjaya menembusi sekatan AS.
Sebaliknya, tentera AS menyatakan ia telah memaksa sekitar 41 kapal yang dikaitkan dengan Iran berpatah balik sejak sekatan bermula.
Pegawai AS menegaskan sekatan itu berkesan dan telah menelan kerugian berbilion dolar kepada Iran, dengan Washington mendakwa Tehran tidak lagi mampu mengeksport minyak secara bebas dan akan dipaksa menyimpan minyak sehingga kapasiti simpanan penuh dan pengeluaran terhenti.