Skip to main content

Teknologi

Netflix lancar ciri Clips di Malaysia, tawar suapan video menegak

Netflix kini mengumumkan mereka akan memperkenalkan garis masa khusus untuk video menegak pada aplikasi mudah-alih mereka awal bulan ini. Hari ini Netflix mengumumkan ciri ini akhirnya diaktifkan kepada pengguna di Malaysia.
Suapan video dalam format menegak ala TikTok itu bertujuan memudahkan pengguna menemui kandungan baharu dengan lebih pantas, tanpa perlu menatal secara mendatar dalam tempoh yang lama. -Foto Amanz

Netflix secara rasmi melancarkan ciri baharu “Clips” di Malaysia bagi membolehkan pengguna meneroka kandungan melalui suapan video menegak secara terus menerusi aplikasi mudah alih, lapor Amanz.

Menerusi kemas kini terbaharu itu, pengguna boleh mengakses tab Clips di bahagian bawah bar navigasi aplikasi untuk menonton petikan pendek daripada siri, filem dan rancangan khas, yang disesuaikan mengikut minat masing‑masing.

Advertisement

Suapan video dalam format menegak ala TikTok itu bertujuan memudahkan pengguna menemui kandungan baharu dengan lebih pantas, tanpa perlu menatal secara mendatar dalam tempoh yang lama.

Selain menonton klip ringkas, pengguna turut boleh menambah tajuk pilihan ke dalam senarai “My List” atau berkongsi pautan kandungan secara terus ke platform media sosial kegemaran mereka.

Netflix memaklumkan, pada masa hadapan, kandungan dalam suapan Clips akan diperluas dengan penyertaan petikan podsiar serta kandungan siaran langsung, sebagai usaha meningkatkan tahap interaksi pengguna.

Malaysia merupakan antara pasaran terawal di dunia yang menerima ciri berkenaan, selain Amerika Syarikat, United Kingdom, Australia dan India.

Pengguna di Malaysia kini boleh menikmati pengalaman penemuan kandungan yang lebih dinamik dan mesra peranti mudah alih dengan mengemas kini aplikasi Netflix kepada versi terkini.

 

 

Must Watch Video