DUNIA
Suruhanjaya Eropah kemuka laporan undang-undang bagi tindakan terhadap Israel

EU mempertimbangkan langkah-langkah yang tidak memerlukan persetujuan sebulat suara, di tengah tekanan diplomatik yang semakin meningkat untuk menilai semula hubungan dengan Israel susulan situasi kemanusiaan di Gaza. - Gambar/ AP
BRUSSELS: Suruhanjaya Eropah sedang menyediakan laporan undang-undang bagi tindakan terhadap Israel yang dijangka dibentangkan kepada Majlis Menteri Luar Kesatuan Eropah (EU) pada 23 Jun ini, kata Presiden Majlis Eropah Antonio Costa.
Ringkasan AI
- Suruhanjaya Eropah sedang menyediakan laporan undang-undang yang mungkin membuka jalan kepada sekatan separa terhadap Israel, jika didapati melanggar hak asasi manusia di bawah Perkara 2 Perjanjian Persatuan EU-Israel.
- Laporan itu akan dibentangkan kepada Majlis Menteri Luar EU pada 23 Jun, dengan 17 daripada 27 negara anggota menyokong penilaian tersebut, manakala sembilan menentang.
- EU kini mempertimbangkan langkah-langkah yang tidak memerlukan persetujuan sebulat suara, di tengah tekanan diplomatik yang semakin meningkat untuk menilai semula hubungan dengan Israel susulan situasi kemanusiaan di Gaza.
Difahamkan, 17 daripada 27 negara anggota telah meminta penilaian undang-undang itu manakala sembilan lagi menentangnya. Perkara 2 perjanjian itu menyediakan rangka kerja undang-undang bagi hubungan istimewa antara Israel dan EU dalam pelbagai bidang, termasuk perdagangan.
Walaupun pembatalan sepenuhnya Perjanjian Persatuan memerlukan persetujuan sebulat suara negara anggota -- yang dijangka ditentang oleh beberapa negara -- EU kini mempertimbangkan langkah-langkah separa yang boleh mengurangkan skop perjanjian berkenaan tanpa memerlukan persetujuan sebulat suara, sebaliknya hanya memerlukan majoriti khas.
Empat diplomat Eropah memberitahu Politico bahawa tekanan semakin meningkat terhadap Suruhanjaya Eropah agar mengemukakan cadangan praktikal untuk menurunkan taraf hubungan dengan Israel sekiranya terbukti berlaku pelanggaran klausa hak asasi manusia dalam perjanjian berkenaan.
Dua minggu lepas, Menteri Luar Perancis Jean-Noel Barrot menggesa agar perjanjian itu dikaji semula dan laporan sebelum ini menunjukkan bahawa Perancis, Britain, Belanda dan Belgium sedang meneroka kemungkinan untuk mengiktiraf negara Palestin.
-- BERNAMA

Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami