BRUSSELS: Suruhanjaya Eropah (EC) umum akan melanjutkan larangan eksport vaksin sehingga Jun.

Mekanisme ini bertujuan memastikan pengeluar vaksin memenuhi komitmennya kepada negara anggota Kesatuan Eropah (EU) terlebih dahulu.

“Hari ini Suruhanjaya Eropah telah melanjutkan larangan untuk mengeksport vaksin ini sehingga akhir bulan Jun. Mekanisme kebenaran eksport ini hanya sah untuk syarikat yang telah terima tempahan pembelian daripada Kesatuan Eropah.

“Di bawah perjanjian pembelian, syarikat berkenaan perlu memberikan jumlah vaksin COVID-19 yang terlah dipersetujui kepada negara anggota EU,” katanya.

EU laksana larangan eksport khas Januari lalu selepas kegagalan syarikat pengeluar vaksin memenuhi pesanan vaksin kepada blok itu.

EC juga memaklumkan buat masa ini ia tidak merancang untuk mengkaji semula cadangan penggunaan vaksin AstraZeneca.

Beberapa negara anggota sebelum ini menangguhkan penggunaannya tanpa memberi sebab yang kukuh.

Sementara itu, Agensi Ubat-ubatan Eropah (EMA) memberi lampu hijau kepada vaksin dos tunggal keluaran Johnson & Johnson.

Ini bermakna 27 negara EU akan menerima vaksin keempat dalam usaha mempercepatkan proses vaksinasi.