Skip to main content

Advertisement

Dunia

Konflik Asia Barat: Semua sasaran ketenteraan di Pulau Kharg, Iran dimusnahkan - Trump

A satellite image shows an oil terminal at Kharg Island, Iran, February 25, 2026. 2026 Planet Labs PBC/Handout via REUTERS THIS IMAGE HAS BEEN SUPPLIED BY A THIRD PARTY. MANDATORY CREDIT
Iran memberi amaran bahawa sebarang serangan ke atas infrastruktur akan membawa kepada serangan balas terhadap kemudahan minyak di rantau itu. - Foto Reuters

ISTANBUL: Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump pada Jumaat berkata semua sasaran ketenteraan di Pulau Kharg yang strategik di Iran telah dimusnahkan, lapor Anadolu Ajansi.

Trump menulis di platform Truth Social miliknya bahawa beliau memilih, “atas alasan kesopanan,” untuk tidak menyasarkan infrastruktur minyak di pulau itu.

Advertisement

“Sebentar tadi atas arahan saya, Markas Pemerintahan Pusat AS (CENTCOM) melaksanakan satu daripada serangan pengeboman paling kuat dalam sejarah Asia Barat dan memusnahkan sepenuhnya setiap sasaran ketenteraan di Pulau Kharg,” katanya.

Trump menambah bahawa jika Iran atau mana-mana pihak lain mengganggu laluan kapal yang bebas dan selamat melalui Selat Hormuz, beliau akan segera mempertimbangkan semula keputusan itu.

“Semasa penggal pertama saya, dan ketika ini, saya membina semula ketenteraan kami menjadi pasukan paling berbahaya, berkuasa dan berkesan di mana-mana sahaja di dunia,” katanya.

“Iran tidak mempunyai keupayaan untuk mempertahankan apa sahaja yang kami mahu serang -- tiada apa yang boleh mereka lakukan mengenainya! Iran tidak akan sekali-kali memiliki senjata nuklear, dan juga tidak akan mempunyai keupayaan untuk mengancam Amerika Syarikat, Asia Barat atau dalam hal ini, dunia!” katanya.

Sementara itu, Iran pada awal Sabtu berkata serangan AS ke atas Pulau Kharg tidak menyebabkan sebarang kerosakan terhadap kemudahan minyak, namun memberi amaran bahawa sebarang serangan ke atas infrastruktur akan membawa kepada serangan balas terhadap kemudahan minyak di rantau itu, lapor Anadolu Ajansi yang memetik saluran televisyen milik kerajaan Press TV.

Laporan itu memetik jurucakap Ibu Pejabat Pusat Khatam al-Anbiya Iran yang berkata sebarang serangan ke atas aset minyak, ekonomi atau tenaga Iran akan membawa kepada kemusnahan “semua kemudahan AS yang sepadan di rantau itu.”

Laporan itu menyatakan bahawa serangan udara AS menyasarkan sistem pertahanan udara, pangkalan tentera laut serta kemudahan lapangan terbang, mengakibatkan lebih 15 letupan dan kepulan asap tebal tetapi tidak merosakkan infrastruktur minyak di pulau itu.

-- BERNAMA-ANADOLU

Must Watch Video