DUNIA
Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Indonesia kumpul rakaman CCTV siasat kematian Affan Kurniawan

Saurlin berkata, pemeriksaan forensik digital terhadap rakaman video amat penting bagi mengesahkan kesahihan maklumat yang tersebar. - Instagram Saurlin
SURUHANJAYA Hak Asasi Manusia Indonesia (Komnas HAM) sedang giat mengumpul rakaman kamera litar tertutup (CCTV) bagi menyiasat kematian penunggang ojek Affan Kurniawan pada 28 Ogos lalu.
Pesuruhjaya Pemantauan dan Penyiasatan Komnas HAM Saurlin P Siagia berkata, pihaknya telah menghantar surat rasmi kepada beberapa agensi bagi mendapatkan rakaman CCTV di sepanjang laluan kejadian, sebelum, semasa dan selepas insiden berlaku.
Bercakap pada satu sidang media di Jakarta pada Selasa, Saurlin menegaskan bahawa pemeriksaan forensik digital terhadap rakaman video amat penting bagi mengesahkan kesahihan maklumat yang tersebar.
Affan Kurniawan, 21, dilaporkan dilanggar dan digilis oleh kenderaan taktikal milik Korps Brigade Mobil (Brimob) Polis Republik Indonesia di kawasan Pejompongan, Jakarta Pusat, pada satu demonstrasi di Jakarta hujung bulan lalu. Komnas HAM turut mengalu-alukan sumbangan maklumat dan rakaman video daripada orang awam berkaitan insiden tersebut.
Selain rakaman CCTV, Komnas HAM juga berusaha mendapatkan maklumat mengenai perbualan anggota polis yang berada dalam kenderaan taktikal sebelum, semasa dan selepas kejadian.
Sementara itu, Pengerusi Komnas HAM Anis Hidayah memaklumkan, setakat ini, 10 individu disahkan meninggal dunia dalam siri demonstrasi di beberapa wilayah yang membantah kenaikan elaun anggota Dewan Perwakilan Rakyat (DPR).
Mereka ialah Affan Kurniawan, Andika Lutfi Falah (Jakarta), Rheza Sendy Pratama (Yogyakarta), Sumari (Solo), Saiful Akbar, Muhammad Akbar Basri, Sarinawati dan Rusmadiansyah (Makassar), Iko Juliant Junior (Semarang), serta Septinus Sesa (Manokwari).
Anis berkata, Komnas HAM bekerjasama dengan beberapa organisasi hak asasi manusia lain dalam menyiasat punca kematian kesemua mangsa. - Agensi
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami