Suspek kumpulan ajaran sesat Kenya mengaku bersalah bunuh 191 pengikut

Enos Amanya yang juga dikenali sebagai Hallelujah mengaku melakukan pembunuhan itu di Mahkamah Tinggi di Mombasa. - Gambar/ X Office of The Director Of Public Prosecutions
NAIROBI (Kenya): Seorang suspek utama pembunuhan beramai-ramai kumpulan ajaran sesat Shakahola di Kenya didakwa pada Jumaat atas pembunuhan 191 pengikut yang kebanyakannya kanak-kanak, menurut laporan Anadolu Ajansi (AA).
Pengakuan itu merupakan perkembangan drastik dalam kes yang dikaitkan dengan lebih 400 kematian yang disebabkan oleh kebuluran dan penderaan.
Enos Amanya yang juga dikenali sebagai Hallelujah mengaku melakukan pembunuhan itu di hadapan Mahkamah Tinggi di Mombasa, menjadikannya defendan pertama daripada 29 tertuduh yang membuat pengakuan dalam kes yang dikaitkan dengan pendakwah bebas Paul Nthenge Mackenzie.
Pengakuan dibuat di hadapan Hakim Diana Kavedza selepas hampir 22 bulan tertuduh menafikan pembunuhan itu sejak perbicaraan bermula.
Pejabat Pengarah Pendakwaan Awam menyatakan bahawa pengakuan itu menandakan "kejayaan besar dalam perbicaraan pembunuhan beramai-ramai Shakahola" selepas Amanya mengaku mengambil bahagian dalam kematian dan pengebumian lebih 191 mangsa, yang sebahagian besarnya kanak-kanak.
Mahkamah dimaklumkan bahawa pembunuhan tersebut dilakukan antara Januari 2021 dan September 2023 di kawasan Shakahola di sepanjang pantai Kenya.
Pendakwa raya berkata Amanya bertindak bersama-sama Mackenzie dan tertuduh lain dalam satu rancangan yang terancang dan sengaja sehingga membawa kepada kematian besar-besaran menerusi kebuluran, penderaan dan paksaan.
Penolong Pengarah Pendakwaan Awam (DPP) Jami Yamina memberitahu mahkamah bahawa Amanya bertugas sebagai penggali kubur dan penguat kuasa keselamatan bagi kultus tersebut, bagi memastikan pengikut mematuhi ajaran Mackenzie.
Pendakwa raya berkata kumpulan itu menggunakan bahasa kod untuk menormalisasikan kematian, dengan merujuk mayat sebagai "baja," pengebumian sebagai "menanam," dan kematian sebagai "menaiki jet" untuk bertemu Yesus.
Mahkamah turut mendengar nama 11 kanak-kanak yang dibunuh. Mangsa lain dikenal pasti melalui parap (initial), jantina dan lokasi tapak perkuburan di mana mayat mereka digali semula.
Pendakwa raya berkata Amanya mengaku bahawa anak-anaknya sendiri adalah antara mangsa yang terkorban dan dia turut mengambil bahagian dalam pengebumian mereka bersama isterinya Anne Anyoso Alukhwe, yang juga dituduh dalam kes ini.
Dia memberitahu mahkamah bahawa seorang anaknya, Izrael Veronica, terselamat selepas meninggalkan Shakahola dan menolak ajaran itu.
Selepas mengesahkan fakta kes sebagai benar, Kavedza mensabitkan kesalahan Amanya berdasarkan pengakuan bersalahnya sendiri.
Atas permintaan DPP, mahkamah memerintahkan agensi berkaitan untuk menyediakan laporan penilaian impak komprehensif mangsa bagi panduan hukuman, serta mengarahkan pihak berkuasa penjara untuk mengasingkan banduan berkenaan demi keselamatannya.
Perbicaraan sebelum menjatuhkan hukuman bagi saksi-saksi mangsa dijadualkan dari 2 hingga 6 Feb ini.
Pendakwa raya menutup kes susulan pengakuan tersebut selepas memanggil 120 saksi, mengemukakan lebih 500 bahan bukti dan menjalankan perbicaraan selama enam bulan.
Kes Shakahola mula terbongkar pada awal 2023 selepas pihak berkuasa mula menggali mayat dari kubur besar di Hutan Shakahola di wilayah pesisir pantai, mendedahkan sebuah kultus yang menggalakkan kebuluran dan dikaitkan dengan Gereja Good News International milik Mackenzie.
Pengikut diarahkan untuk berpuasa sehingga mati dengan kepercayaan bahawa ia akan mempercepat perjalanan mereka ke syurga, sekali gus mencetuskan kebimbangan di seluruh negara tentang ekstremisme agama, kegagalan perlindungan kanak-kanak dan kelemahan dalam pengawasan gereja-gereja kecil.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


