ISTANBUL: Suspek letupan maut di bandar terbesar Turkiye, Istanbul, mengaku kepada polis dia melakukan serangan bom itu, pihak berkuasa Turkiye mengumumkan pada Isnin.

Jabatan Polis Istanbul dalam satu kenyataan berkata suspek, Ahlam Albashir, warga Syria mengaku menerima arahan serangan daripada Parti Pekerja Kurdistan (PKK) yang diharamkan dan sayapnya di Syria, Unit Perlindungan Rakyat (YPG), lapor Xinhua.

Ankara menyenaraikan kedua-dua PKK/YPG sebagai organisasi pengganas.

Albashir berkata dia dilatih sebagai pegawai perisik khas oleh pertubuhan pengganas dan memasuki Turkiye secara haram melalui Afrin, Syria, untuk melakukan serangan itu, menurut polis.

Pada Ahad, satu letupan menggegarkan kawasan sibuk Istiklal Avenue di sebelah Eropah Istanbul, pada 4.20 petang waktu tempatan (1320 GMT), menyebabkan enam orang maut dan 81 cedera.

Bahan letupan yang digunakan dalam serangan itu adalah trinitrotoluene TNT, salah satu bahan letupan berkuasa tinggi, kata polis dalam satu kenyataan berasingan.

Agensi kerajaan Anadolu berkata 46 suspek, termasuk penyerang, telah ditahan dalam operasi polis yang dijalankan di 21 alamat di Istanbul.

Sementara itu, Menteri Dalam Negeri Turki Suleyman Soylu Isnin melawat tempat kejadian dua kali dan meninggalkan bunga teluki (carnation) untuk memperingati mereka yang kehilangan nyawa.

-- BERNAMA