DUNIA
Suspek utama kes kematian bintang Friends, Matthew Perry dijangka mengaku bersalah

Isu ketagihan bahan terlarang Perry, diketahui umum, namun, kematiannya pada usia 54 tahun mengejutkan para peminat Friends di seluruh dunia. - Gambar fail
LOS ANGELES: Suspek utama yang didakwa berhubung kematian akibat salah guna dadah bintang siri Friends, Matthew Perry dijangka mengaku bersalah dalam masa terdekat.
Menurut Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (AS), Salvador Plasencia bersetuju untuk mengaku bersalah atas empat pertuduhan pengedaran ketamin, yang memperuntukkan hukuman maksimum 40 tahun penjara Persekutuan.
Sebelum ini, doktor dan suspek kedua dalam kes tersebut, Mark Chavez, mengaku bersalah pada Oktober lalu atas konspirasi untuk mengedar ketamin beberapa minggu sebelum Perry ditemui meninggal dunia dalam tab mandi panas di kediamannya di Los Angeles pada 2023.
Isu ketagihan bahan terlarang Perry, diketahui umum, namun, kematiannya pada usia 54 tahun mengejutkan para peminat Friends di seluruh dunia.Siasatan jenayah dilancarkan tidak lama selepas laporan bedah siasat mendapati Perry mempunyai kadar ketamin yang tinggi dalam sistem tubuhnya.
Plasencia didakwa membeli ketamin daripada Chavez dan menjualnya kepada pelakon berdarah Amerika-Kanada itu pada harga yang sangat tinggi.
Selain Plasencia dan Chavez, lima individu telah didakwa berhubung kematian Perry.
Ini termasuk pembantu peribadi Perry serta seorang lagi lelaki yang mengaku bersalah pada Ogos lalu atas pertuduhan konspirasi untuk mengedar ketamin.
Siri komedi televisyen Friends, yang mengisahkan kehidupan enam warga New York melalui alam dewasa, percintaan dan kerjaya, menarik pengikut besar di seluruh dunia dan melonjakkan para pelakon yang sebelumnya tidak dikenali menjadi bintang mega.
Watak Perry sebagai Chandler yang sinis dan bersikap kebudak-budakan melonjakkan populariti dan kekayaan, namun pada sisi gelap, beliau menyembunyikan pergelutannya terhadap ketagihan ubat penahan sakit dan alkohol.
Pada tahun 2018, usus Perry dilaporkan pecah kolon akibat pengambilan dadah berlebihan hingga terpaksa menjalani beberapa pembedahan.
Dalam memoirnya pada tahun 2022 berjudul Friends, Lovers and the Big Terrible Thing, Perry menceritakan bagaimana beliau telah melalui proses pemulihan dadah, berpuluh-puluh kali. - Agensi
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami