DUNIA
Sweden gesa EU beku perjanjian perdagangan dengan Israel, tingkatkan tekanan ekonomi

Perdana Menteri Sweden, Ulf Kristersson pada Khamis menggesa Kesatuan Eropah (EU) untuk membekukan komponen perdagangan dalam perjanjian persatuannya dengan Israel dan meningkatkan tekanan ekonomi. - Gambar Reuters
ISTANBUL: Perdana Menteri Sweden, Ulf Kristersson pada Khamis menggesa Kesatuan Eropah (EU) untuk membekukan komponen perdagangan dalam perjanjian persatuannya dengan Israel dan meningkatkan tekanan ekonomi, lapor Agensi Anadolu (AA).
Sweden mendesak EU, secepat mungkin, membekukan komponen perdagangan perjanjian persatuan itu dan meningkatkan tekanan ekonomi ke atas Israel, tulis Kristersson di platform X, sambil merujuk kepada situasi "yang amat menyedihkan" di Gaza.
Beliau menggesa kerajaan Israel untuk membenarkan bantuan kemanusiaan tanpa had masuk ke Gaza.
"Israel tidak memenuhi kewajipan paling asas dan komitmen yang telah dipersetujui berhubung bantuan kemanusiaan," kata Kristersson.Beliau juga menyeru pembebasan "serta-merta" dan "tanpa syarat" semua tawanan.
Menolak gesaan antarabangsa untuk gencatan senjata, tentera Israel telah meneruskan serangan kejam ke atas Gaza sejak 7 Okt 2023, membunuh lebih 60,200 rakyat Palestin, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak.
Pengeboman tanpa henti itu telah memusnahkan wilayah berkenaan dan menyebabkan kekurangan makanan.
Pada Isnin, kumpulan hak asasi Israel, B'Tselem dan Physicians for Human Rights-Israel, menuduh Israel melakukan genosid di Gaza, dengan merujuk kepada kemusnahan sistematik masyarakat Palestin dan tindakan sengaja melumpuhkan sistem penjagaan kesihatan wilayah itu.
Pada November lalu, Mahkamah Jenayah Antarabangsa mengeluarkan waran tangkap terhadap Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dan bekas Menteri Pertahanannya, Yoav Gallant atas dakwaan jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan di Gaza.
Israel turut berdepan kes genosid di Mahkamah Keadilan Antarabangsa berhubung perang di wilayah berkenaan.
-- BERNAMA

Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami