TEHRAN: Seorang pegawai kanan Hamas berkata cadangan gerakan pembebasan Palestin itu untuk satu gencatan senjata di Semenanjung Gaza adalah pragmatik dan boleh dilaksanakan, lapor Agensi Berita Iran (IRNA).

Pemimpin kanan Hamas yang berpangkalan di Beirut, Lubnan, Osama Hamdan berkata menerusi perbincangan secara tidak langsung denga rejim Zionis, Hamas menggesa perang dihentikan, pelarian dikembalikan, usaha menyelamat dilakukan dan pembinaan semula Gaza dimulakan.

Osama berkata cadangan pelan kedamaian sementara yang ditawarkan Hamas baru-baru ini adalah realistik dan lengkap serta musuh tidak mampu menolaknya, dan ia mencadangkan butiran spesifik berkenaan tahanan perang dan pengunduran tentera Israel dari Semenanjung Gaza yang merupakan sebahagian daripada pelan itu.

Beliau berkata Hamas masih menunggu respons daripada rejim Israel dan penyokong kuatnya (Amerika Syarikat) dan difahamkan tedapat jurang dan perbezaan dalam kalangan menteri kabinet rejim itu mengenai cadangan berkenaan.

Pegawai Hamas itu berkata Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu sedar tentang kesan tindak balas Gaza ke atas tentera rejim itu dan rejim Israel belum lagi mencapai sebarang matlamat seperti yang diuar-uarkan dalam Perang Gaza.

Beliau berkata pegawai-pegawai Hamas bertegas untuk mengelak perang di Gaza daripada berterusan dalam perhubungannya dengan pengantara antarabangsa.

Lebih daripada 31,000 rakyat Palestin maut sejak 7 Okt, apabila rejim Israel melancarkan serangan dan melakukan genosid di Gaza selepas serangan mengejut oleh pejuang Palestin terhadap entiti Israel.

-- BERNAMA