MALAYSIA
Lawatan Agong ke Rusia buka lembaran baharu hubungan dua hala - Anwar

Anwar mengiringi Sultan Ibrahim ke Istiadat Mengucap Selamat Berangkat Sempena Lawatan Negara, di Pangkalan Udara TUDM Subang hari ini. - Foto FB Anwar Ibrahim
KUALA LUMPUR: Keberangkatan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim ke Rusia untuk Lawatan Negara atas jemputan rasmi Presiden Vladimir Putin, membuka lembaran baharu dalam hubungan dua hala Malaysia dengan negara itu.
Ringkasan AI
- Lawatan bersejarah: Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim melawat Rusia atas jemputan Presiden Putin, menjadikan Baginda Ketua Negara Malaysia pertama mengadakan Lawatan Negara ke Rusia sejak 1967.
- Kerjasama strategik: Lawatan dijangka merancakkan hubungan dua hala dalam bidang perdagangan, teknologi, pendidikan, dan pelaburan selari dengan agenda Ekonomi MADANI.
- Diplomasi Diraja: Peranan Institusi Diraja diperkukuh sebagai simbol perpaduan dan pemacu diplomasi antarabangsa, memperteguh imej Malaysia sebagai negara terbuka dan berkecuali.
"Malaysia berpotensi menarik pelaburan serta teknologi baharu daripada Rusia, khususnya dalam sektor tenaga, aeroangkasa, pertahanan, dan pertanian pintar sejajar dengan agenda Ekonomi MADANI yang menekankan daya saing, kemampanan dan kemakmuran bersama," kata beliau menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Perdana Menteri berkata lebih penting lagi, Lawatan Negara itu mengukuhkan peranan Institusi Diraja Malaysia sebagai pemacu diplomasi negara yang dihormati pada peringkat antarabangsa, sekali gus memperteguh kedaulatan dan imej Malaysia sebagai negara yang berkecuali, terbuka dan progresif.
Beliau berkata lawatan itu amat bersejarah dan signifikan, menjadikan Seri Paduka Baginda sebagai Ketua Negara Malaysia pertama menjejakkan kaki ke Russia bagi Lawatan Negara sejak hubungan diplomatik kedua-dua negara dimeterai pada tahun 1967.
"Ia melambangkan kedudukan Seri Paduka Baginda sebagai lambang perpaduan negara, yang turut memainkan peranan strategik dalam memperkukuh hubungan antarabangsa Malaysia," katanya.
Terdahulu, Anwar mengiringi Sultan Ibrahim ke Istiadat Mengucap Selamat Berangkat Sempena Lawatan Negara, di Pangkalan Udara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Subang.
Rusia merupakan rakan perdagangan kesembilan terbesar Malaysia dalam kalangan negara Eropah dan ke-28 di peringkat global, dengan nilai dagangan dua hala mencecah RM11.46 bilion (AS$2.48 bilion) pada 2024.
Bagi tempoh Januari hingga Jun 2025, jumlah perdagangan Malaysia-Rusia direkodkan sebanyak RM4.13 bilion (AS$945.7 juta).
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami