Skip to main content

Dunia

Syarikat kebab didenda £500,000 jual daging ‘kambing’ tiruan

51733742339_TBGAVEL.jpg
Mahkamah Diraja Swansea turut mengarahkan Kismet Kebabs Ltd yang berpangkalan di Essex membayar kos tambahan £259,298 (kira-kira RM1.39 juta). -Gambar hiasan

SWANSEA: Sebuah syarikat pengeluar daging kebab di United Kingdom (UK) didenda £500,000 (kira-kira RM2.67 juta) selepas didapati bersalah menjual produk daging 'kambing' tiruan yang sebahagian besarnya mengandungi kulit dan lemak.

Mahkamah Diraja Swansea turut mengarahkan Kismet Kebabs Ltd yang berpangkalan di Essex membayar kos tambahan £259,298 (kira-kira RM1.39 juta), lapor BBC.

Hakim menyifatkan tindakan syarikat pembekal restoran dan kedai makanan segera itu sebagai penipuan terancang dalam tempoh yang lama.

Menurut pihak pendakwaan mewakili Majlis Perbandaran Swansea, siasatan mendapati produk yang dilabel sebagai daging kambing tulen sebenarnya mengandungi campuran kulit, lemak, daging kambing biri-biri tua (mutton), daging kambing biasa (goat), serta sisa daging yang diproses secara mekanikal.

Dalam salah satu kes, produk kebab doner yang didakwa mengandungi 87 peratus daging kambing didapati hanya mempunyai 51 peratus daging sebenar, manakala kira-kira 40 peratus lagi terdiri daripada lemak.

Siasatan turut mendapati syarikat itu jarang membeli daging kambing sebenar, sebaliknya lebih kerap mendapatkan bahan mentah gred rendah yang tidak layak diklasifikasikan sebagai daging.

Kismet Kebabs Ltd mengaku bersalah atas pertuduhan penipuan melalui representasi palsu.

Mahkamah menetapkan tempoh empat tahun untuk syarikat itu melunaskan keseluruhan denda yang dikenakan.

 

Must Watch Video

Advertisement