Syarikat AS Ocean Infinity sahkan sambung semula pencarian pesawat MH370

Firma penyelidikan Amerika Syarikat, Ocean Infinity pada Jumaat mengesahkan bahawa ia menyambung semula pencarian pesawat Malaysia Airlines Penerbangan MH370 yang hilang pada 2014. - Gambar fail/REUTERS
MOSCOW: Firma penyelidikan Amerika Syarikat, Ocean Infinity pada Jumaat mengesahkan bahawa ia menyambung semula pencarian pesawat Malaysia Airlines Penerbangan MH370 yang hilang pada 2014, lapor Sputnik/RIA Novosti.
Ringkasan AI
- Ocean Infinity menyambung pencarian pesawat MH370 yang hilang pada 2014 dengan sokongan kerajaan Malaysia.
- Kapal khusus Ocean Infinity sedang dalam perjalanan ke pantai barat Australia untuk meneruskan operasi pencarian.
- Operasi pencarian aktif dijadual bermula pada 30 Disember selepas penangguhan sebelum ini oleh Ocean Infinity.
Sebuah kapal khusus Ocean Infinity sedang dalam perjalanan ke pantai barat Australia bagi meneruskan operasi pencarian, berdasarkan analisis data penjejakan maritim.
Kapal sepanjang 86 meter, Armada 86 05 yang berdaftar di Singapura, berlepas dari kawasan berhampiran pelabuhan Kwinana pada 23 Dis dan kini menuju ke selatan Lautan Hindi, lokasi pencarian pesawat yang hilang itu sebelum ini.
Kapal berkenaan berfungsi sebagai platform pelancaran kenderaan bawah air autonomi yang berkeupayaan memetakan dasar laut dalam.
Fasa pencarian aktif dijadual bermula pada 30 Dis.
Pada Mac lalu, pihak berkuasa Malaysia bersetuju dengan Ocean Infinity untuk melaksanakan usaha baharu bagi mengesan pesawat MH370.
Pada April, Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook memaklumkan bahawa Ocean Infinity menangguhkan pencarian susulan musim semasa yang tidak sesuai.
Pesawat Boeing 777-200 milik Malaysia Airlines yang mengendalikan penerbangan MH370 dari Kuala Lumpur ke Beijing, membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal hilang daripada radar pada awal pagi 8 Mac 2014.
Pesawat itu dipercayai terhempas di selatan Lautan Hindi.
Bagaimanapun, operasi pencarian sebelum ini gagal menentukan lokasi sebenar nahas.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


