NEW YORK: Syarikat pembuat mainan Hasbro dilaporkan mengurangkan kira-kira 1,000 jawatan pekerjaan sekaligus sebagai sebahagian daripada langkah penjimatan syarikat.

Memetik CNA, Hasbro memaklumkan penjimatan tahunan dijangka dapat dilakukan sehingga AS$300 juta (RM1,268.9 juta) menjelang 2025.

Syarikat berpangkalan di Rhode Island yang berusia hampir seabad di belakang jenama Monopoly, Play-Doh dan My Little Pony berkata sebanyak 15 peratus pemberhentian pekerja sepenuh masa secara global juga bakal dilaksanakan.

Dalam pada itu, Presiden dan Ketua Pegawai Operasi, Eric Nyman juga dilaporkan akan meninggalkan syarikat.

Ketua Eksekutif Hasbro, Chris Cocks berkata pembuat mainan itu akan "memberi sedikit tumpuan kepada produk sedia ada, jenama yang lebih besar, permainan, digital dan perniagaan terus kepada pengguna dan pelesenannya yang berkembang pesat".

Pada suku ketiga tahun lalu, Hasbro dilaporkan mengalami penurunan hasil sebanyak 15 peratus berbanding tempoh yang sama tahun sebelumnya.

Cocks berkata bahagian produk pengguna Hasbro menunjukkan prestasi teruk pada tiga bulan terakhir 2022 berlatarkan persekitaran pengguna percutian yang mencabar.

Bagaimanapun, Cocks berkata, bagaimanapun, unit permainan utama, Wizards of the Coast, permainan digital, Hasbro Pulse dan perniagaan pelesenannya mencatat pertumbuhan kukuh pada suku keempat yang akan dibentangkan pada Februar ini.

Sementara itu, saham syarikat turut jatuh kira-kira tujuh peratus dalam dagangan lanjutan selepas notis pemberhentian diumumkan. Saham itu turun 29 peratus dalam tempoh 12 bulan lalu melalui penutupan dagangan biasa di Wall Street semalam.