Syarikat tembakau terbesar dunia seru perokok berhenti merokok

Nailah Huda
Ogos 22, 2019 07:25 MYT
Kaji selidik terbaharu oleh Philip Morris International Inc. (PMI) mendapati bahawa faktor kurang maklumat menjadi punca utama mengapa orang ramai enggan bertukar kepada produk bebas asap. Foto BERNAMA.
SYARIKAT tembakau terbesar dunia, Philip Morris International Inc. (PMI) yang terkenal dengan produk rokok jenama Marlboro menggesa orang ramai khususnya perokok agar menghentikan tabiat buruk itu.
Sebahagian daripada kempen terbaharu mereka ‘Unsmoke’, PMI bersama firma penyelidikan Povaddo menjalankan kajian mengenai persepsi orang ramai terhadap alternatif merokok.
Menurut kenyataan PMI, kajian itu mendapati bahawa faktor kurang maklumat menjadi punca utama mengapa orang ramai enggan bertukar kepada produk “bebas asap”.
“Kini terlalu banyak maklumat yang salah mengenai produk bebas asap berleluasa sehingga menyebabkan kekeliruan. Ini antara perkara yang menghalang seluruh dunia daripada menjadi bebas daripada asap,” kata Ketua Pegawai Pperasi PMI, Jacek Olczak.
Kaji selidik yang dijalankan di 13 negara dalam kalangan dewasa berusia 21 ke 74 tahun itu mendapati bahawa empat daripada lima responden bersetuju perubahan mengenai merokok perlu ada.
Namun, hanya 55 peratus responden berpandangan bahawa mereka mempunyai maklumat yang mencukupi untuk membuat keputusan mengenai produk bebas asap.

Only 55% of adult smokers we spoke to believe they have all the information they need about #smokefree alternatives. Quitting altogether is best, but what about those who don't? Help us spread the word and rid the world of cigarettes for good: https://t.co/6C3aAwb0NV#Unsmoke pic.twitter.com/JgDMFCGJjA

— Philip Morris Intl (@InsidePMI) August 21, 2019
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
PMI melancarkan kempen ‘Unsmoke’ sejak April lalu untuk menggalakkan orang ramai berhenti merokok dan mempertimbangkan alternatif lain seperti rokok elektronik atau e-rokok.
Misi kempen itu dirangkum dengan slogannya: “Jika anda tidak merokok, jangan mula. Jika anda merokok, berhenti. Jika anda tidak berhenti, berubah.”
Pada Disember 2018, Altria Group, syarikat induk kepada PMI membeli 35 peratus saham dan membuat pelaburan sebanyak AS&12.8 juta dalam Juul Labs Inc., antara pengeluar e-rokok terbesar di Amerika Syarikat (AS).
Bagaimanapun, langkah ini dilihat mempunyai agenda tersendiri oleh beberapa pihak, seperti pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Campaign for Tobacco-Free Kids.
Dakwa NGO itu, sebuah jenama rokok 'kretek' baharu diperkenalkan oleh PMI di Indonesia, “Philip Morris Bold” hanya beberapa minggu sebelum kempen ‘Unsmoke’ dilancarkan.
Menurut Organisasi Hak Intelek Dunia, PMI didaftarkan di Indonesia pada Januari 2019.
Kini, syarikat itu mengawal 35 peratus daripada pasaran rokok di negara itu berdasarkan laman web Campaign for Tobacco-Free Kids.
“Walaupun mereka berjanji untuk mewujudkan masa depan yang bebas asap, Philip Morris masih menjana pendapatannya daripada menjual rokok dan mengembangkan operasi mereka di seluruh dunia secara agresif,” tegas pertubuhan tersebut di laman web mereka.
Pada Selasa, Juul Labs Inc dan PMI didakwa di sebuah Mahkamah Daerah di AS kerana menjalankan pemasaran produk berkandungan nikotin terhadap kanak-kanak dan terlibat dalam penipuan mengenai risiko vaping.
Tuntutan mahkamah itu difailkan bagi pihak Christian Foss, 19, yang mendakwa telah ketagih dengan nikotin dan mengalami masalah asma selepas mengguna e-rokok Juul sejak berusia 16 tahun lagi.
#business #E-rokok #Indonesia #Juul #kesihatan #Philip Morris #Philip Morris International Inc #PMI #rokok #rokok elektronik #vape