Skip to main content

Dunia

Syria hapus program senjata kimia era Bashar al-Assad

A group of symbolic shrouds representing victims of the chemical attack on the area in 2013 is displayed inside the room at Kafr Batna Hospital where the bodies of victims were placed after the massacre, in Eastern Ghouta, Syria, August 18, 2026. Original photographs documenting the massacre are displayed on the walls of the room. The exhibition is part of a museum documenting the reality experienced by residents and medical workers during the conflict. REUTERS/Khalil Ashawi
Sekumpulan kain kafan simbolik yang mewakili mangsa serangan kimia di kawasan itu pada tahun 2013 dipamerkan di dalam bilik Hospital Kafr Batna, tempat mayat mangsa diletakkan selepas pembunuhan beramai-ramai tersebut, di Ghouta Timur, Syria, pada 18 Ogos 2026. - Gambar Reuters
Advertisement

BEIRUT: Syria telah memulakan proses memusnahkan sisa-sisa program senjata kimia rahsia era Bashar al-Assad yang ditemui semula pada Mei lalu, dalam operasi pemusnahan pertama seumpamanya dalam tempoh sedekad.

Menurut wakil Syria dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), langkah itu menyusuli penemuan sisa bahan mentah dan bom udara yang dipercayai sebahagian daripada program senjata kimia bekas Presiden Syria, Bashar al-Assad.

Pada Mei lalu, Reuters melaporkan, kepimpinan baharu Syria berjaya mengesan saki-baki program senjata kimia berkenaan yang menyerupai peralatan digunakan dalam serangan gas maut ketika perang saudara negara itu.

Wakil Tinggi PBB bagi Hal Ehwal Perlucutan Senjata, Izumi Nakamitsu berkata dalam taklimat kepada Majlis Keselamatan PBB pada Khamis, buat pertama kali sejak 2014, Pertubuhan Larangan Senjata Kimia (OPCW) telah mengesahkan pemusnahan munisi senjata kimia di Syria.

Menurut beliau, selepas penemuan pada Mei itu, Syria turut menemui sebuah lagi fasiliti pengeluaran senjata kimia, bahan kimia baharu yang digunakan dalam penghasilan agen saraf, selain munisi kimia kosong.

Syria juga mengisytiharkan dua kemudahan penyimpanan senjata kimia yang digunakan untuk menyimpan bahan dan peralatan yang baru ditemui itu.

Bulan lalu, OPCW menghantar pasukan khas ke Syria bagi mengesahkan pemusnahan senjata kimia Kategori Tiga, merangkumi munisi yang belum diisi serta peralatan lain yang digunakan untuk menyebarkan bahan kimia berbahaya.

Menurut Nakamitsu, pasukan itu mengesahkan "pemusnahan tidak boleh dipulihkan" terhadap 42 bom udara sebagai sebahagian daripada misi berkenaan.

Duta Syria ke PBB, Ibrahim Olabi berkata, usaha tersebut mencerminkan komitmen Syria dalam melindungi keselamatan serantau dan global.

"Kami melindungi dunia dan rantau ini melalui usaha seperti ini," katanya kepada Majlis Keselamatan.

Bagaimanapun, beliau mengkritik Israel dengan mendakwa serangan berulang kali oleh negara itu telah menghalang sebahagian operasi pencarian dan pemusnahan senjata kimia, selain meletakkan pasukan Syria yang bertugas dalam keadaan berisiko.

"Kami tidak boleh menjamin keselamatan rantau ini jika keselamatan kami terus terdedah kepada serangan Israel. Mereka mengabaikan keselamatan serantau serta melanggar konvensyen dan perjanjian antarabangsa yang telah dipersetujui," katanya.

Tentera Israel setakat ini belum mengeluarkan sebarang maklum balas terhadap dakwaan tersebut.

Dalam perkembangan sama, Olabi memaklumkan, Syria sedang membuat persiapan untuk mengadakan perbicaraan pertama melibatkan individu yang disyaki terlibat dalam program senjata kimia era Assad.

Awal tahun ini, pihak berkuasa Syria menahan 18 suspek yang didakwa mempunyai kaitan dengan program senjata kimia tersebut, termasuk pegawai kanan tentera, tokoh politik dan pegawai teknikal. - Agensi

Must Watch Video

Advertisement