ISTANBUL: Syria kini memasuki fasa baharu pembangunan dan pembinaan semula susulan penarikan balik sekatan, kata Presiden Ahmad al-Sharaa pada Rabu sambil menyuarakan harapan agar negara itu dapat kembali memainkan peranan sebagai penghubung antara pasaran, koridor perdagangan dan hab ekonomi yang menghubungkan Timur dan Barat, lapor Anadolu Ajansi.
Sharaa berkata demikian ketika merasmikan Pameran Antarabangsa Damsyik ke-63 yang disifatkannya sebagai “memori ekonomi Syria dan jendelanya ke dunia”, menghimpunkan negara, pasaran, syarikat dan pelabur, menurut Agensi Berita Arab Syria (SANA).
“Selepas halangan disingkirkan dan sekatan ditarik balik, kita masih belum sampai ke penghujung.
"Kita kini berada di permulaan perjalanan panjang dan mampan yang berteraskan maruah, kebangkitan, pembinaan semula, pembangunan dan ketamadunan.
“Kita melihat matahari Syria terbit semula, menjadikannya mercu ekonomi, penghubung antara pasaran, koridor perdagangan dan pusat pertemuan kepentingan Timur dan Barat,” kata beliau.
Sharaa berkata visi itu memberikan makna besar kepada pembukaan semula Pameran Antarabangsa Damsyik.
Beliau menyifatkan acara itu sebagai peluang kepada rakyat Syria dan masyarakat antarabangsa untuk “melakar lembaran baharu sejarah, menghidupkan semula harapan dari bawah runtuhan dan kembali bersama selepas bertahun-tahun terpisah”.
Menurut Sharaa, skala penyertaan mencerminkan “keyakinan rakyat terhadap diri mereka sendiri dan keyakinan dunia terhadap Syria serta rakyatnya”, sekali gus membantu membuka jalan bagi negara itu memainkan semula peranan serantau dan antarabangsa yang sewajarnya.
“Damsyik sejak dahulu menjadi tempat bermulanya kisah-kisah besar, dan hari ini kita berdiri di sini untuk memulakan kisah baharu -- kisah sebuah negara yang memperoleh kembali kehendaknya dan rakyat yang memperoleh kembali kebebasan mereka,” katanya.
Jabatan Perbendaharaan Amerika Syarikat (AS) pada Isnin mengumumkan bahawa Syria telah dikeluarkan daripada senarai negara penaja keganasan, sekali gus memenuhi komitmen pentadbiran Trump untuk memberikan kelonggaran sekatan.
AS menetapkan Syria sebagai negara penaja keganasan pada 1979 ketika era Presiden Hafez al-Assad, dengan mendakwa Damsyik berulang kali menyokong kumpulan yang diklasifikasikan Washington sebagai “organisasi pengganas”.
Pameran Antarabangsa Damsyik ke-63 dibuka ketika kerajaan Syria berusaha menghidupkan semula ekonomi, menarik pelaburan dan memperluas hubungan perdagangan dengan negara serta syarikat.
Pameran itu diadakan dengan tema “Syria Bangkit Semula”, membabitkan kira-kira 1,000 entiti dari hampir 60 negara dan akan berlangsung hingga 4 Sept.
Pameran Antarabangsa Damsyik yang diasaskan pada 1954 merupakan antara pameran perdagangan antarabangsa tertua di Asia Barat. Edisi sebelumnya menarik lebih 2.2 juta pengunjung, menurut SANA.
-- BERNAMA-ANADOLU