DUNIA
Syria umum gencatan senjata sepenuhnya di Suwayda

Menteri Pertahanan Syria Murhaf Abu Qasra mengumumkan gencatan senjata sepenuhnya di Suwayda, selatan Syria, pada Selasa susulan rundingan dengan pemimpin komuniti tempatan. - Foto REUTERS
ISTANBUL: Menteri Pertahanan Syria Murhaf Abu Qasra mengumumkan gencatan senjata sepenuhnya di Suwayda, selatan Syria, pada Selasa susulan rundingan dengan pemimpin komuniti tempatan, lapor Anadolu Ajansi (AA).
"Kepada semua unit yang beroperasi dalam Bandar Suwayda, kami mengumumkan gencatan senjata sepenuhnya selepas mencapai persetujuan dengan pemimpin dan tokoh bandar," katanya di platform X.
Bagaimanapun, beliau menjelaskan yang pasukan Syria hanya akan bertindak balas terhadap serangan langsung atau sumber tembakan daripada "kumpulan yang melanggar undang-undang".
Beliau turut mengumumkan rancangan untuk menyerahkan kawalan kejiranan di Bandar Suwayda kepada pasukan keselamatan dalaman "sebaik sahaja operasi pembersihan selesai bagi mengembalikan ketenteraman, membolehkan penduduk kembali ke rumah mereka dan memulihkan kestabilan di dalam bandar".Abu Qasra berkata unit polis tentera dikerahkan di Suwayda untuk memantau tingkah laku tentera dan memastikan mereka yang melanggar persetujuan ini dipertanggungjawabkan.
Serentak dengan itu, tentera Syria mula menarik keluar peralatan ketenteraan berat dari Suwayda sebagai persediaan untuk penyerahan kawalan kejiranan bandar kepada pasukan keselamatan dalaman yang bertanggungjawab mengekalkan undang-undang dan ketenteraman awam, menurut agensi berita rasmi SANA.
Pada pagi Selasa, kepimpinan kerohanian komuniti Druze di Syria menyeru semua kumpulan bersenjata di Suwayda agar bekerjasama sepenuhnya dengan pasukan keselamatan kerajaan dan menyerahkan senjata mereka.
Terdahulu, Ketua Keselamatan Dalam Negeri Suwayda Ahmed al-Dalati mengumumkan perintah berkurung di bandar itu bermula pagi Selasa "sehingga diberitahu kelak".
Pada Isnin, lebih 30 orang terbunuh dan hampir 100 lagi cedera dalam pertempuran antara puak Badwi dan puak Druze di Suwayda.
Bashar al-Assad, pemimpin Syria selama hampir 25 tahun melarikan diri ke Rusia pada Disember lepas, menamatkan pemerintahan Parti Baath yang berkuasa sejak 1963.
Satu pentadbiran peralihan baharu yang diketuai oleh Presiden Ahmad al-Sharaa dibentuk di Syria pada Januari.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami