DUNIA
Syria umum pilihan raya Parlimen pertama sejak kejatuhan Bashar al-Assad

Proses pengundian akan dilaksanakan dalam tempoh lima hari di bawah pentadbiran baharu yang kini diketuai Presiden sementara, Ahmed al-Sharaa. - Gambar fail Reuters
DAMSYIK : Syria bakal mengadakan pilihan raya Parlimen pada 15 hingga 20 September ini, iaitu yang pertama sejak kejatuhan bekas Presiden Bashar al-Assad susulan serangan mengejut kumpulan pemberontak pada Disember lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Tertinggi Pilihan Raya Parlimen Syria, Mohammed Taha al-Ahmad berkata, proses pengundian akan dilaksanakan dalam tempoh lima hari di bawah pentadbiran baharu yang kini diketuai Presiden sementara, Ahmed al-Sharaa.
"Sebanyak satu pertiga daripada 210 kerusi Parlimen akan dilantik oleh Presiden al-Sharaa, manakala selebihnya dipilih melalui pengundian rakyat," katanya kepada agensi berita rasmi SANA.
Ahli jawatankuasa pilihan raya, Hassan al-Daghim, dalam satu temu bual dengan laman Erem News, memaklumkan, setiap wilayah di Syria akan menubuhkan kolej pemilih bagi menentukan wakil masing-masing.Sebelum ini, satu Perlembagaan sementara telah ditandatangani oleh al-Sharaa pada Mac lalu yang memperuntukkan pembentukan Jawatankuasa Rakyat sebagai Parlimen sementara, sehingga Perlembagaan kekal digubal dan pilihan raya umum penuh diadakan – satu proses yang dijangka mengambil masa beberapa tahun.
Pengumuman pilihan raya ini hadir ketika Syria sedang bergelut dengan ketegangan dalaman, susulan rusuhan berdarah yang berlaku di wilayah selatan Suwayda awal bulan ini.
Pertelingkahan antara puak Badwi bersenjata dan komuniti minoriti Druze itu mengorbankan ratusan nyawa.
Pasukan keselamatan kerajaan yang campur tangan dilaporkan menyebelahi puak Badwi, dan dalam beberapa kejadian, tentera kerajaan didakwa menembak mati orang awam Druze serta membakar kediaman mereka. - Agensi
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami