Tahun Baharu Cina: Lapangan terbang serantau perkukuh pemantauan virus Nipah

Pemantauan kesihatan di lapangan terbang di negara-negara Asia Tenggara diperketat berikutan lonjakan penumpang sempena perayaan Tahun Baharu Cina. - Gambar hiasan
PHNOM PENH: Hanya beberapa hari sebelum sambutan Tahun Baharu Cina, beberapa lapangan terbang antarabangsa di rantau ini telah mempertingkatkan pemantauan dan saringan penumpang bagi mencegah penularan virus Nipah yang muncul semula sejak Disember lalu.
Negara yang bergantung kepada pelancongan seperti Kemboja, Myanmar dan Vietnam telah memperhebat pemantauan di lapangan terbang untuk mengesan penyakit berjangkit yang boleh mengancam kesihatan awam.
Langkah pemantauan yang lebih ketat itu dilaksanakan ketika jutaan pengembara dijangka berulang-alik di lapangan terbang untuk pulang ke kampung halaman sempena perayaan yang disambut pada 17 Feb ini.
"Memandangkan Kemboja, Myanmar dan Vietnam telah meningkatkan pemantauan di lapangan terbang susulan kebimbangan terhadap virus Nipah, musim pelancongan Tahun Baharu Cina mungkin berdepan sedikit gangguan dalam jangka masa pendek.
"Namun, dengan komunikasi yang telus dan langkah kesihatan yang diselaraskan, gangguan itu dapat diminimumkan," kata Presiden Persatuan Pelancongan Asia Pasifik (PATA) Cawangan Kemboja Thourn Sinan kepada Bernama.
Setakat ini, tiada kes virus Nipah dilaporkan di ketiga-tiga negara berkenaan.
Di Hanoi, Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Vietnam telah mengarahkan semua agensi penerbangan melaksanakan pemeriksaan lebih ketat di semua lapangan terbang bagi mengelakkan penularan virus Nipah.
Penumpang yang tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Noi Bai di Hanoi kini menjalani saringan suhu badan secara automatik, lapor Vietnam News awal minggu ini.
Semasa sambutan Tahun Baharu Cina tahun lalu, jumlah trafik penumpang di semua lapangan terbang di negara itu mencecah 3.6 juta orang.
Vietnam menyasarkan untuk menyambut ketibaan 25 juta pelancong pada tahun ini.
The Global New Light of Myanmar pada Isnin melaporkan Lapangan Terbang Antarabangsa Yangon dan Lapangan Terbang Antarabangsa Mandalay telah memulakan saringan kesihatan terhadap penumpang yang tiba dari luar negara, khususnya dari India.
Risalah maklumat turut diedarkan kepada pengembara, manakala poster dipamerkan sebagai sebahagian daripada kempen kesedaran Kementerian Kesihatan.
Kemboja pada minggu lalu turut mengumumkan langkah serupa di Lapangan Terbang Antarabangsa Techo yang baharu, termasuk memperketat saringan kesihatan dan mengadakan latihan simulasi kecemasan.
Pihak berkuasa lapangan terbang dan kerajaan mengambil langkah proaktif untuk mengekang penyakit berjangkit itu selepas beberapa kes virus Nipah dikesan di Bengal Barat, India sejak Disember lalu.
Virus zoonotik itu biasanya menjangkiti manusia daripada haiwan, namun ia juga boleh merebak melalui makanan tercemar atau secara langsung dari manusia ke manusia, menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).
"Prosedur saringan yang jelas untuk pengembara, kerjasama serantau melalui garis panduan yang seragam serta perkongsian maklumat masa nyata merentasi sempadan bagi mengurangkan kekeliruan dan kelewatan perjalanan adalah penting.
"Sokongan kepada pengembara, termasuk penyediaan bantuan pelbagai bahasa, proses lapangan terbang yang lebih lancar, sebarang pilihan laluan pantas yang tersedia, serta pilihan perjalanan fleksibel akan membantu dalam mengekalkan suasana perayaan dan momentum pelancongan," kata Sinan.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


