TAIPEI: Taiwan telah mengeluarkan Malaysia dan beberapa negara lain daripada senarai awal negara yang diumumkan layak untuk kemasukan bebas visa bermula minggu depan.

Sebelumnya, pada Isnin (5 September), satu makluman yang disiarkan Biro Hal Ehwal Konsulat Taiwan menunjukkan pengunjung dari Malaysia, Singapura dan beberapa negara lain, dibenarkan memasuki pulau berkenaan tanpa visa dan boleh menginap sehingga 30 hari.

Pengunjung Jepun dan Korea Selatan juga berada dalam senarai yang dibenarkan masuk tanpa visa ke Taiwan dan boleh menginap sehingga 90 hari.

Namun, pada Selasa, laman web biro berkenaan telah dikemas kini dengan menyatakan bahawa Taiwan akan "menggantung sementara" kemasukan bebas visa bagi pengunjung dari negara-negara seperti yang telah disebutkan.

Turut termasuk dalam senarai itu ialah Chile, Dominican Republic, Israel, Nicaragua, Thailand, Brunei, Filipina dan Rusia.

Agensi berita Channel NewsAsia melaporkan, Pejabat Perwakilan Taipei di Singapura menjelaskan pada Selasa bahawa kenyataan media mengenai pelarasan langkah kawalan sempadan yang dikeluarkan pada Isnin itu telah disalah erti.

"Sebahagian media dan orang awam menyangka bahawa bermula 12 September, mereka boleh memasuki Taiwan tanpa visa.

“Selepas dikoordinasi dan komunikasi bersama Biro Hal Ehwal Konsulat, maklumat itu telah diperbetul untuk memberi pencerahan ke atas salah faham tersebut,” menurut pejabat berkenaan.

Makluman tentang syarat kemasukan ke Taiwan pada Isnin lalu itu dilihat sebagai langkah pelonggaran perjalanan antarabangsa ketika usaha mengawal penularan COVID-19 terus dijalankan.

Sebelum ini beberapa negara juga kerap melakukan perubahan syarat pada saat akhir, bergantung kepada strategi dan kesediaan pemerintah serta pihak berkuasa masing-masing dalam melaksanakan pengawalan terhadap ancaman pandemik.