KABUL: Taliban kini menguasai sepenuhnya lapangan terbang antarabangsa Kabul pada Selasa selepas pesawat terakhir Amerika Syarikat meninggalkan negara tersebut.

Penerbangan terakhir itu sekali gus menamatkan perang paling lama melibatkan AS dan kini ruang udara di lapangan tersebut kelihatan sepi, tidak sibuk seperti hari-hari sebelumnya.

Begitupun, keadaan di luar lapangan itu masih sibuk dengan banyak kenderaan dilihat berulang-alik di kawasan tersebut.

Pejuang Taliban yang lengkap bersenjata juga dilihat berada di sekitar kawasan berkenaan dan berkawal di sana.

“Alhamdulillah, kita mendapatkan kemerdekaan untuk negara kita. Semua umat Islam, semua Mujahiddin, dan seluruh rakyat Afghanistan gembira dan berkongsi kebahagiaan dengan kami,” kata pejuang Taliban, Mohammad Noman Raihan.

Difahamkan, mereka sudah berada di lapangan terbang tersebut pada awal pagi Selasa.

Selepas 20 tahun misi yang bermula susulan tragedi 11 September 2001, tentera Amerika Syarikat akhirnya secara penuh berundur dari Afghanistan.

Misi itu dilapor menelan kos AS$2.3 trilion kepada Amerika Syarikat dan lebih 2,400 anggota tentera AS, 72 wartawan dan lebih 100,000 orang awam, pasukan keselamatan dan anggota tentera Afghanistan terkorban.

Menurut Komander Pusat Pemerintahan Tentera AS Jeneral Frank McKenzie pesawat C-17 terakhir berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Hamid Karzai pada jam 3.29 petang, 30 Ogos.

Sehingga kini laporan menyatakan 116,000 orang telah dibawa keluar sejak Taliban merampas kuasa dua minggu lepas.

Proses evakuasi ini turut dicemari dengan insiden pengeboman bunuh diri militan Daish di lapangan Terbang Kabul yang mengorbankan 182 orang termasuk anggota tentera Amerika Syarikat.

Pengunduran ini berikan warga Afghanistan satu tamparan hebat dan ketidaktentuan tentang nasib mereka dengan pemerintahan Taliban.