Taliban umum penambahan menteri Kabinet kerajaan sementara

Associated Press
September 8, 2021 13:08 MYT
Mujahid pada sidang media mengumumkan Kabinet baharu bagi membentuk kerajaan sementara di Afghanistan. - Gambar/ AP
TALIBAN mengemas kini senarai baharu Kabinet kerajaan sementaranya di Afghanistan dengan penambahan beberapa portfolio.
Terbaharu, struktur kepimpinan negara itu ditambah dengan portfolio Menteri Pendidikan, Sheikh Mawlwai Noorullah Munir; Menteri Luar, Mawlawi Amir Khan Mutaqi dan Menteri Pelarian, Khalil Ur Rehman Haqqani
Direktorat Keselamatan Negara (NDS) akan dipimpin Mullah Haq Wasiq, selain Timbalan Ketua Risikan, Mawlawi Taj Mir Jawad dan Timbalan Direktorat Keselamatan Negara pula adalah Mullah Rahmatullah Najib.
"Taliban mengambil keputusan untuk melantik dan mengumumkan Kabinet sementara untuk melaksanakan urusan penting kerajaan," kata jurucakapnya, Zabihullah Mujahid.
Ujarnya, penamaan anggota Kabinet lain akan terus diumumkan dalam masa terdekat setelah melakukan penelitian terperinci.
BACA: Taliban setuju beri bantuan segera kepada yang memerlukan - PBB
BACA: AS 'bimbang' rekod beberapa anggota kabinet kerajaan sementara Taliban
Beliau dalam masa yang sama menekankan bahawa kerajaan itu akan berfungsi sebagai kerajaan sementara dan akan cuba 'melibatkan' individu di kawasan lain di negara berkenaan.
Untuk rekod, Perdana Menteri sementaranya, Mullah Hassan Akhund adalah merupakan individu yang berada dalam senarai sekatan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Berasal dari Kandahar, yang juga tempat asal pembentukan Taliban, Akhund sebelum ini menyandang jawatan sebagai Menteri Luar, sebelum diangkat sebagai Timbalan Perdana Menteri ketika kumpulan itu berkuasa dari 1996 ke 2001.
Menteri Dalam Negerinya pula, Serajuddin Haqqani adalah merupakan individu paling dikehendaki oleh Biro Siasatan Persekutuan (FBI).
BACA: Taliban umum Kabinet baharu kerajaan sementara di Afghanistan
Barisan Kabinet lain yang sudah diumumkan sebelum ini adalah Timbalan Perdana Menteri, Mullah Abdul Ghani Baradar; Menteri Pertahanan, Mullah Mohammad Yaqoub; Menteri Kewangan, Hedayatullah Badri.
#Taliban #Kabinet Baharu #kerajaan sementara #Afghanistan