Tokoh diplomat, Tan Sri Razali Ismail berpendapat bekas Perdana Menteri Thailand, Thaksin Shinawatra perlu mengasingkan dirinya daripada politik negara itu buat sementara waktu sekurang-kurangnya untuk tempoh 10 tahun.

Katanya, itulah antara langkah yang boleh membantu menyelesaikan kebuntuan krisis politik Thailand yang telah berlarutan sejak Thaksin digulingkan oleh tentera pada hampir lapan tahun lalu.

"Thaksin patut berundur daripada politik Thailand. Raja (Bhumibol Adulyadej) adalah satu-satunya orang yang melakukan ini dan memberitahu Thaksin supaya mengasingkan diri selama 10 tahun.

"Anak-anak Thaksin boleh pulang (ke Thailand) kemudian. Thaksin sudah memecah-belahkan (negara itu)," kata Razali yang pernah jadi wakil tetap Malaysia ke Pertubuhan Bangsa Bersatu di New York.


Raja Bumibhol muncul di khalayak ramai di Bangkok pada Isnin lalu untuk menyambut ulang tahun ke-64 beliau naik takhta. Beliau yang sedang uzur bagaimanapun tidak memberikan ucapan kepada rakyat.

Selain faktor istana, Razali yang juga Pengerusi Yayasan Gerakan Kesederhanaan Global (GMMF) berpendapat penyelesaian krisis politik negara jiran itu akan banyak bergantung kepada peranan yang akan dimainkan oleh masyarakat sivil untuk menyatukan semula Thailand.

"Mereka boleh bergaduh itu dan ini tetapi tidak lama nanti mereka akan bersatu semula…. Kalau Thaksin tidak ada, (saya yakin) akan ada penyatuan nasional dan mereka boleh bersatu semula lebih baik daripada kita," katanya merujuk kepada pelan penyatuan di negara ini selepas pilihan raya umum 2013 yang kini terbantut.

Adik Thaksin, Yingluck Shinawatra pada Rabu dipecat daripada jawatannya oleh Mahkamah Perlembagaan selepas didapati melampaui kuasanya dalam satu keputusan menukar ketua Majlis Keselamatan Negara.

Keputusan mahkamah itu mengulangi episod sama yang berlaku kepada dua bekas perdana menteri Thailand yang juga disingkirkan oleh mahkamah yang sama pada 2008. Kedua-dua bekas perdana menteri itu menyokong serta mendapat dukungan daripada Thaksin.